18 Disember 2020 – YB Puan Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada petang ini telah hadir menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah “Waste to Art Competition 2020 & Cabaran Trash to Cash” anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Majlis ini secara signifikan telah mengangkat usaha orang awam terutamanya penggiat seni dalam menambah nilai terhadap sesuatu barangan terbuang, terpakai dan kitar semula yang terbukti boleh ditransformasi menjadi produk estetik dan mempunyai nilai komersial selaras dengan Dasar Kebersihan Negara yang ingin merakyatkan “Circular Economy” melalui “Trash to Cash”.

Dalam merancakkan lagi inisiatif ini, SWCorp telah melancarkan Program Lelongan “The Miracle Of Art” melalui laman sesawang eBay dengan kaedah bidaan/ lelongan yang melibatkan pembeli dan penjual dari 30 buah negara peringkat antarabangsa bagi memasarkan karya ‘seni sampah’ ini.

Dalam ucapannya, beliau menyeru agar masyrakat untuk lebih kreatif dalam menambah nilai terhadap sesuatu barangan terbuang serta mengamalkan budaya kebersihan.

Tahniah diucapkan kepada semua para pemenang. Semoga kejayaan anda menjadi insipirasi dan aspirasi kepada masyarakat untuk menjadikan prospek penghasilan produk daripada barangan kitar semula dan terbuang sebagai salah satu sumber ekonomi.