Tapak Pelupusan (Disposal Site)
Mana-mana tapak, selain tambak tanah kebersihan dan tambak tanah lengai, di mana sisa pepejal di tempatkan secara kekal
Tambak Tanah Kebersihan (Sanitary Landfill)
Suatu tapak pelupusan di mana sisa pepejal terkawal dilonggokkan di dalam atau di atas mana-mana tanah atau air dan di mana prinsip reka bentuk kejuruteraan digunakan untuk mengepung sisa pepejal terkawal di dalam kemudahan itu bagi memastikan pengolahan dan pengendalian sepatutnya bagi mengelakkan apa-apa kacau ganggu atau bahaya kepada kesihatan awam, keselamatan dan alam sekitar
Tambak Tanah Lengai (Inert Landfill)
Suatu tapak pelupusan yang menerima sisa pepejal terkawal yang tidak bertindak balas secara kekal atau kimia atau biodegrad dan tidak mengurai di dalam tambak tanah itu
Stesen Pemindahan (Transfer Station)
Suatu kemudahan di mana sisa pepejal terkawal dipunggah dari kenderaan pungutan sisa, dan dimuatkan semula ke dalam kenderaan angkut jauh berkapasiti besar, baj atau pengangkutan rel bagi penghantaran laluan darat atau air ke kemudahan pengolahan dan pelupusan
Loji Pengolahan Haba (Thermal Treatment Plant)
Suatu loji pegun atau bergerak di mana sisa pepejal terkawal diolah dalam keadaan terkawal melalui penunuan pembakaran besar-besaran, pengegasan, teknologi plasma, pirolisis atau cara pengolahan yang lain di bawah suhu terkawal atau tekanan atmosfera
Kemudahan Mendapatkan Semula Bahan (Material Recovery Facility)
Suatu kemudahan yang direkabentuk dan dikendalikan untuk memproses sisa pepejal terkawal dengan menggunakan kaedah mekanikal untuk mengasingkan bahan berguna daripada aliran sisa untuk digunakan sebagai bahan mentah atau keluaran
Kemudahan Pengomposan Komunal Atau Komersial (Communal Commercial Composting Facility)
Suatu kemudahan di mana penguraian mikrob sisa pepejal terkawal organik dijalankan di dalam keadaan aerob terkawal untuk menukarkan bahan organik kepada keluaran seperti humus untuk digunakan sebagai pembaik tanah atau baja dan boleh termasuk pengomposan cacing, tebas susun balikan, timbunan statik berudara atau sistem pengudaraan dalam bejana yang memberikan perkhidmatan kepada dua atau lebih premis, dan dalam hal kemudahan pengomposan komersial, yang mengeluarkan kompos untuk dijual
Kemudahan Biogas (Biogas Facility)
Suatu kemudahan di mana terhasilnya biogas melalui proses pencernaan anaerob sisa pepejal terkawal terbiodegradasi organik bagi maksud penggunaan gas itu sebagai sumber tenaga
Kemudahan Bahan Api Terbitan Sampah (Refuse Derived Fuel Facility)
Suatu kemudahan di mana terbitnya keluaran bahan api daripada sisa pepejal terkawal melalui suatu proses gabungan yang termasuk pengasingan, pengeringan, penyiatan atau pemadatan, dan yang boleh melibatkan bahan yang boleh dikitar semula didapatkan semula dan pengalihan bahan yang tidak boleh diproses seperti tanah dan batu