Laman Web Rasmi

Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam

Laman Web Rasmi

Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam

Inisiatif

Solid Waste Training Centre (SWTC)

Logo SWTC
  1. Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melalui Solid Waste Training Centre (SWTC) (Kod Pusat: PD5959) telah ditauliah pada 31 Januari 2019 untuk menjalankan Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) melalui kaedah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia dalam bidang kemahiran berkaitan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

  2.  Pelaksanaan SPKM ini adalah selaras dengan aspirasi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang diterjemahkan di dalam kluster ke lima Dasar Kebersihan Negara iaitu Modal Insan Yang Berkualiti dan Berkemahiran. Inisiatif ini adalah bagi meningkatkan produktiviti dan memastikan pekerja dalam perkhidmatan tersebut dapat melaksanakan perkhidmatan pembersihan berdasarkan standard dan prosedur yang ditetapkan seterusnya menarik lebih ramai warga tempatan untuk menyertai sektor perkhidmatan ini

  3. Pelaksanaan SPKM kepada pekerja-pekerja sektor pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam (warganegara Malaysia sahaja) oleh pihak KPKT melalui SWCorp adalah selari dengan hasrat Kerajaan untuk memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia yang mampu memberikan impak yang positif dalam peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada keperluan pekerja asing dalam sektor ini.

  4. Pelaksanaan SPKM kepada pekerja-pekerja sektor pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam (warganegara Malaysia sahaja) ini adalah bertujuan untuk mewujudkan:a) pekerja yang diiktiraf;

    b) pekerja yang lebih kompeten;
    c) pekerja yang mempunyai kemahiran sosial dan nilai sosial;
    d) perkhidmatan yang mencapai ekspektasi rakyat; dan
    e) perkhidmatan secara self regulated.

  5.  Selain itu, objektif pelaksanaan SPKM bagi pekerja-pekerja sektor pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam adalah untuk:
    a) mendorong tenaga kerja sedia ada industri untuk mendapat pengiktirafan berdasarkan kelayakan dan kompetensi yang dimiliki;
    b) menjalankan latihan kemajuan teknologi yang berterusan secara formal dan berstruktur (up-skilling dan re-skilling);
    c) melaksanakan pembangunan kerjaya secara berstruktur berdasarkan kompetensi pekerja;
    d) meningkatkan produktiviti syarikat melalui peningkatan pekerja terlatih dan mahir; dan
    e) membangun dan melaksanakan standard kemahiran kerja-kerja perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

  6. SWTC yang berperanan sebagai pusat latihan akan bekerjasama dengan tiga (3) syarikat konsesi iaitu Alam Flora Sdn. Bhd. (AFSB), SWM Environment Sdn. Bhd. (SWMESB), E-Idaman Sdn. Bhd. (EISB) serta syarikat-syarikat yang berkaitan untuk melaksanakan persijilan kepada pekerja-pekerja (warganegara Malaysia sahaja) sedia ada termasuk pekerja baharu secara berperingkat.

  7. Melalui kaedah SLDN ini, SWTC sebagai pusat latihan akan melaksanakan pembelajaran secara teori merangkumi 20% hingga 30% daripada keseluruhan masa latihan oleh tenaga pengajar yang terlatih dan ditauliahkan oleh JPK. Manakala, syarikat konsesi pula akan melaksanakan pembelajaran secara amali yang akan dikawal selia oleh penyelia sedia ada di lapangan yang merangkumi 70% hingga 80% daripada keseluruhan masa latihan.

  8. Sehingga kini, sebanyak tujuh (7) program latihan kemahiran berkaitan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan ditawarkan oleh Pusat Latihan SWTC. Modul latihan ini adalah berdasarkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan atau National Occupational Skill Standard (NOSS) yang dibangunkan oleh pakar-pakar industri sisa pepejal di Malaysia.

  9. SWTC telah memulakan operasinya pada bulan Jun 2019 dan sehingga kini seramai 253 orang perantis dalam kalangan pekerja syarikat konsesi sedia ada telah berdaftar bagi mengikuti latihan mengikut bidang masing-masing.

  10. Sehingga kini, seramai 110 orang graduan telah tamat latihan dan terampil ditauliahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2. Manakala seramai 143 orang perantis merupakan pengambilan tahun 2021 sedang mengikuti latihan kemahiran yang dijangka tamat pada bulan November 2021.

  11. Selain itu, pensijilan kemahiran Malaysia ini turut dilaksanakan melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT). Melalui kaedah ini, pekerja syarikat konsesi yang berjawatan penyelia telah mengikuti penilaian melalui kaedah amali berdasarkan pengalaman dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam. SWTC telah memulakan pengambilan pada tahun 2020 dan sehingga kini seramai 79 orang graduan telah terampil Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) juga di Tahap 2.

  12. SWCorp juga akan menganjurkan Majlis Konvokesyen Pensijilan Kemahiran Malaysia Kali Pertama yang dicadangkan pada bulan November 2021. Penganjuran majlis konvokesyen yang julung-julung kalinya diadakan bakal melakar sejarah baharu dalam industri pengurusan sisa pepejal di Malaysia di mana penganugerahan pensijilan kemahiran kepada pekerja-pekerja industri sisa pepejal dan pembersihan yang pertama seumpamanya di Malaysia.

  13. Ini secara tidak langsung dapat menyebar luas pelaksanaan inisiatif oleh SWCorp yang diiktiraf dan dilantik sebagai Badan Peneraju Industri atau Industry Lead Body (ILB) bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang akan memberikan impak yang lebih positif kepada imej serta martabat bidang pekerjaan berkaitan sisa pepejal dan pembersihan.

Program Kemahiran

Bil
Program
Tempoh
1
OPERASI PENGUMPULAN SISA PEPEJAL
Tahap 2 | 4 bulan
2
OPERASI TRAK PENGUMPULAN SISA PEPEJAL
Tahap 2 | 4 bulan
3
MANUAL PEMBERSIHAN AWAM
Tahap 2 | 8 bulan
4
OPERASI MEKANIKAL PEMBERSIHAN AWAM
Tahap 2 | 8 bulan
5
PENYELIAAN OPERASI PENGUMPULAN SISA PEPEJAL
Tahap 3 | 4 bulan
6
PENYELIAAN OPERASI PEMBERSIHAN AWAM
Tahap 3 | 8 bulan
7
OPERASI RAWATAN DAN PELUPUSAN SISA PEPEJAL
Tahap 3 | 24 bulan