Persidangan Bangsa – Bangsa Bersatu mengenai “Alam Sekitar dan Pembangunan” pada tahun 1992, di Rio de Janeiro, telah mengiktiraf bahawa terdapat kaitan rapat antara kualiti alam sekitar dan kesihatan manusia. Justeru itu, penjagaan kualiti alam sekitar telah menjadi salah satu tema utama dalam persidangan tersebut. Dalam Agenda 21 Persidangan Rio, program-program untuk mencapai pembangunan mampan telah diberi penekanan dan prinsip pertama Deklarasi Rio menyatakan bahawa pembangunan mampan hanya akan dapat dicapai sekiranya perhatian diberikan kepada hak untuk memiliki kehidupan yang sihat disamping menjaga alam sekitar.
Sasaran skop perlindungan alam sekitar dan skop kesihatan awam secara umumnya adalah saling berkaitan untuk mencapai kesihatan persekitaran yang efektif. Dalam hal ini, kesihatan persekitaran adalah merupakan sektor utama kepada kesihatan awam dan alam semulajadi yang akan memberi kesan kepada kesihatan manusia bagi mengelakkan penularan penyakit dan mewujudkan persekitaran yang kondusif.
Aktiviti yang dijalankan oleh manusia telah banyak mengubah komposisi atmosfera bumi seterusnya menyumbang kepada pemanasan global yang juga merupakan ancaman besar kepada kesihatan awam. Pemanasan global juga telah mengakibatkan banyak kematian dan penyebaran wabak melalui bencana alam seperti gelombang haba, banjir dan kemarau. Kebanyakan wabak tersebut menjadi kritikal kerana ianya sangat sensitif terhadap perubahan suhu dan taburan hujan. Perkara ini dijangka akan bertambah buruk di masa akan datang. Oleh itu, usaha bersepadu oleh semua pemegang taruh perlu diambil bagi mengatasi isu-isu terkini yang mempengaruhi kesihatan persekitaran.
Sektor pengurusan sisa pepejal adalah merupakan salah satu aktiviti yang menyumbang kepada pemanasan global dan akan menjejaskan kesihatan awam sekiranya tidak diuruskan dengan bijak dan sempurna. Pelupusan sisa pepejal telah dikenalpasti sebagai penyumbang utama dalam penghasilan gas metana dan berlakunya pencemaran air serta tanah yang secara tidak langsung berpotensi untuk menjejaskan kesihatan awam.
Tapak pelupusan yang digunakan untuk melupuskan sisa pepejal hendaklah direkabentuk, dibina dan diuruskan secara sanitari dalam mengawal dan merawat pencemaran yang berlaku agar ianya tidak menjejaskan persekitaran. Oleh itu, pelupusan sisa pepejal di kawasan yang tidak dibenarkan selain daripada tapak pelupusan hendaklah dibendung dan dikawal sepenuhnya.
Menyedari hakikat ini, KPKT bersama SWCorp telah melaksanakan operasi membenteras tapak pelupusan sampah haram. Tindakan ini adalah selaras dengan matlamat Yang Berhormat Menteri KPKT untuk menutup setiap lokasi sampah haram.
Usaha ini dilihat sebagai satu tindakan proaktif dalam membenteras kewujudan lokasi sampah haram disamping menunjukan keseriusan dan komitmen Pengurusan Tertinggi KPKT serta SWCorp dalam menangani isu lokasi sampah haram demi kesejahteraan rakyat negara ini.
Tafsiran yang digunakan dalam membenteras tapak atau lokasi sampah haram adalah seperti berikut:
“Sampah haram” ertinya adalah seperti berikut:
b) Sisa pepejal yang dilupuskan atau dikumpulkan atau dibuang yang melebihi dua (2) tan untuk setiap lokasi
“Sisa pepejal” ertinya adalah seperti berikut:
c) Apa-apa bahan lain yang mengikut Akta 672 atau mana-mana undang-undang bertulis dikehendaki oleh pihak berkuasa supaya dilupuskan,tetapi tidaklah termasuk buangan terjadual sebagaimana yang diperihalkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127], kumbahan sebagaimana yang ditakrifkan dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] atau sisa radioaktif sebagaimana yang ditakrifkan dalam Akta Pelesenan Tenaga Atom 1984 [Akta 304].
“Tapak atau lokasi sampah haram” adalah merupakan sebarang tapak atau kawasan yang tidak dibenarkan atau diwartakan yang digunakan untuk melupuskan atau menempatkan sisa pepejal.
“Pihak Berkuasa Tempatan” mempunyai erti yang sama yang diberikan kepadanya di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171].
“Syarikat atau Pihak Yang Dilantik” adalah sebuah entiti perniagaan yang dilantik oleh Pihak Berkuasa Negeri / Pihak Berkuasa Tempatan.
“Syarikat panel” adalah sebuah entiti perniagaan yang dilantik khusus untuk melaksanakan kerja-kerja yang telah ditetapkan dan boleh diarahkan untuk melaksanakan kerja-kerja pada bila-bila masa.
Impak Negatif Pembuangan Sisa Pepejal Tidak Sempurna
Pembuangan sisa pepejal yang tidak sempurna akan mendatangkan kesan negatif kepada alam sekitar, sosial dan kesihatan. Air larut resap yang terhasil daripada sisa pepejal tersebut akan menjejaskan sistem saliran yang berhampiran dan sekiranya sistem saliran tersebut tidak mengalir dengan sempurna ianya akan menghasilkan bau yang kurang menyenangkan.