Laman Web Rasmi

Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam

Laman Web Rasmi

Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam

Dasar & Perundangan

Perundangan

Terdapat dua (2) akta yang terlibat dalam perkara-perkara berkaitan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam iaitu :-

  • Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) ; dan
  • Akta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 673)


(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672)

Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang digubal di bawah perkara 74(1) dan 80(2) Perlembagaan Persekutuan, telah diwartakan pada 30 Ogos 2007 dan telah berkuat kuasa mulai daripada 1 September 2011 di tujuh (7) buah negeri iaitu Perlis, Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur dan Putrajaya).

Antara tujuan penggubalan Akta 672 adalah untuk –

(a) memastikan keseragaman undang-undang dan dasar untuk membuat undang-undang bagi pengawalan dan pengawalseliaan perkara-perkara yang berhubungan dengan pengurusan sisa pepejal terkawal dan pembersihan awam, dan

(b) memberikan kuasa eksekutif kepada Kerajaan Persekutuan bagi perkara-perkara yang berhubungan dengan pengurusan sisa pepejal terkawal dan pembersihan awam,

di seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah-Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan.

Secara asasnya, penerimaan dan pemakaian Akta 672 ini bermaksud bahawa tanggungjawab pengurusan sisa pepejal terkawal dan pembersihan awam di 7 negeri yang berkenaan, dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan, termasuklah aktiviti penguatkuasaan.

(2) Akta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 673)

Akta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 673) juga telah diwartakan pada 30 Ogos 2007 dan telah mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2008.

Penggubalan Akta 673 adalah bertujuan untuk menubuhkan suatu perbadanan yang dinamakan sebagai Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (yang turut dikenali dengan akronim ‘SWCorp’) yang diberikan kuasa untuk mentadbir dan menguatkuasakan undang-undang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam serta perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

Melalui Akta 673, SWCorp yang juga bertindak sebagai pelaksana dasar-dasar berkaitan kebersihan negara, telah diberikan kuasa dan fungsi tertentu bagi memastikan pelaksanaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri-negeri yang menerima pakai Akta 672 adalah teratur.