Pengasingan sisa pepejal di punca telah dikuatkuasakan pada 2011 dibawah Peraturan – Peraturan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Skim bagi Sisa Pepejal Isi Rumah dan Sisa Pepejal yang Serupa dengan Sisa Pepejal Isi Rumah) 2011. Sebelum pelaksanaan penguatkuasaan yang bermula pada 1 Jun 2016, SWCorp telah merangka 3 Fasa iaitu Fasa Libat Urus (1 Jun 2015 – 31 Ogos 2015), Fasa Peringatan (1 September 2015 – 31 Mei 2016) dan Fasa Penguatkuasaan (1 Jun 2016). Peraturan ini melibatkan 7 negeri yang menerima pakai Akta 672 iaitu Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Kedah dan Wilayah Persekutuan.
Penguatkuasaan yang dijalankan oleh Penguat kuasa SWCorp yang telah diberikan kuasa untuk melaksanakan semakan kepada premis bertanah dan premis bertingkat. Penguat kuasa akan membuat semakan di tong dan rumah sampah bagi memeriksa pelaksanaan pengasingan sisa pepejal di punca di buat oleh isi rumah. Jika gagal dilaksanakan oleh isi rumah, Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) akan dikeluarkan oleh Penguat kuasa di mana Kertas Siasatan akan dibuka untuk diberikan kompaun minimum RM50 bagi premis bertanah dan minimum RM100 bagi premis bertingkat.
Sebanyak 1,642,901 premis bertanah dan 535,591 premis bertingkat telah terlibat dengan pelaksanaan ini meliputi 53 buah kawasan operasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di 7 Negeri. Bagi premis bertanah, tindakan akan dikenakan kepada penghuni atau pemilik premis, manakala bagi kediaman bertingkat tindakan penguatkuasaan akan dikenakan kepada Badan Pengurusan Harta Bersama (JMB).
Penguatkuasaan bagi premis bertanah telah bermula sejak 1 Jun 2016, manakala penguatkuasaan bagi premis bertingkat telah bermula pada 1 Mei 2021. Pelaksanaan penguatkuasaan Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca adalah untuk menyemai budaya mengasingkan sisa pepejal mengikut kategori di kalangan masyarakat. Tindakan penguatkuasaan ini adalah langkah terakhir dan hanya akan diambil sekiranya masyarakat masih ingkar untuk melakukan pengasingan sisa pepejal.
Bagi premis bertanah, sejak 2016 sebanyak 17,543 Operasi yang melibatkan 1,1414,045 premis dan 25,976 taman. Selain itu, sebanyak 715 Notis Pemberitahuan Kesalahan telah dikeluarkan dan Jumlah Kompaun yang telah dikenakan kepada pemilik premis yang melakukan kesalahan adalah RM18,300.00. Manakala, sejak Mei 2021 sebanyak 485 operasi yang melibatkan 692 Pengurusan Harta Bersama (JMB) dan 195,242 premis bagi premis bertingkat. Sehingga kini, tiada Notis Pemberitahuan Kesalahan dan kompaun yang dikeluarkan.
Kediaman bertanah:
a. Kesalahan pertama : RM50.00
b. Kesalahan kedua : RM100.00
c. Kesalahan ketiga dan seterusnya : RM500.00
Kediaman bertingkat:
d. Kesalahan pertama : RM100.00
e. Kesalahan kedua : RM200.00
f. Kesalahan ketiga dan seterusnya : RM500.00
Sekiranya kompaun gagal dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, maka pihak SWCorp akan membawa kes ke Mahkamah dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000.00.