Pengenalan Dan Tarikh Kuat Kuasa
Bermula 1 Januari 2026, kerajaan akan menguatkuasakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) sebagai hukuman alternatif bagi kesalahan membuang sampah kecil (littering). Pelaksanaan ini akan berjalan serentak melibatkan kesemua tujuh (7) negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menguatkuasakan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
Rasional Dan Latar Belakang
Walaupun Malaysia sedang pesat menuju status negara maju, isu kebersihan persekitaran akibat sikap membuang sampah di tempat awam masih menjadi cabaran kritikal. Perubahan demografi dan pertambahan populasi menuntut anjakan paradigma dalam pengurusan kebersihan awam.
Tabiat membuang sampah secara tidak bertanggungjawab bukan sahaja mencacatkan estetika dan imej negara, malah memberi implikasi serius terhadap kesihatan awam. Ia menjadi punca utama pembiakan vektor penyakit seperti denggi, malaria, dan kencing tikus (leptospirosis). Justeru, PKM diperkenalkan sebagai mekanisme intervensi sosial untuk melengkapkan hukuman denda sedia ada, bertujuan mendidik masyarakat agar lebih cakna bahawa kelestarian alam adalah tanggungjawab bersama.
Punca Kuasa Dan Perundangan
Pelaksanaan PKM disokong oleh kerangka perundangan yang kukuh mengikut kategori pesalah:
Pesalah Dewasa: Pendakwaan di bawah
Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672],
Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta 133], dan
Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171].
Pesalah Kanak-Kanak (10–18 tahun): Pendakwaan tertakluk di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611].
Fokus Penguatkuasaan
Operasi penguatkuasaan akan menumpukan kepada tabiat membuang sampah kecil (littering) seperti puntung rokok, tisu, plastik pembungkus, tin minuman, tiket parkir, atau resit. Walaupun kelihatan remeh, sisa-sisa ini menyumbang secara signifikan kepada pencemaran persekitaran dan kejadian banjir kilat akibat longkang tersumbat.
Strategi penguatkuasaan proaktif akan ditumpukan di lokasi berisiko tinggi (hotspots), termasuk:
• Pusat bandar dan hab pengangkutan awam (perhentian bas/stesen tren).
• Kawasan komersial (medan selera, pasar awam, arked perniagaan).
• Destinasi pelancongan, pantai, taman awam, dan kawasan rekreasi.
Bentuk Hukuman
Individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000. Sebagai hukuman tambahan, mahkamah boleh memerintahkan pesalah menjalani khidmat masyarakat selama maksimum 12 jam, yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam (6) bulan.
Definisi Khidmat Masyarakat adalah sebarang kerja, perkhidmatan, atau pelaksanaan arahan tanpa bayaran bagi maksud mengekalkan atau menambah baik kebersihan sesuatu tempat awam.
Teras Pelaksanaan Dan Objektif
Perintah Khidmat Masyarakat dirangka berdasarkan tiga (3) teras strategik:
1. Memberi Keinsafan : Objektif utama adalah menimbulkan rasa insaf dalam diri pesalah. Sebagai pengajaran sosial, pesalah diwajibkan memakai pakaian seragam khas (ves) sepanjang tempoh pelaksanaan hukuman agar masyarakat umum menyedari akibat daripada tindakan tidak bertanggungjawab tersebut.
2. Mendidik Pesalah : Hukuman ini berfungsi sebagai mekanisme pendidikan untuk mengubah tingkah laku pesalah agar lebih menghargai kebersihan awam. Ia bertujuan mencegah pesalah daripada mengulangi kesalahan (recidivism) pada masa hadapan.
3. Mengurangkan Kesan Pencemaran : Aktiviti pembersihan yang dijalankan memberi impak positif secara langsung kepada persekitaran, sekali gus membantu membasmi risiko penyakit bawaan vektor.
Modul Aktiviti Khidmat Masyarakat
Antara bentuk kerja amal yang akan dilaksanakan oleh pesalah termasuklah:
• Kerja khidmat masyarakat hendaklah termasuk, tetapi tidak terhad kepada, aktiviti-aktiviti berikut di bawah seliaan Perbadanan
• Melaksanakan kerja-kerja pembersihan seperti mengutip, menyapu, mencuci, mengemop lantai, mengecat, melupuskan, memotong rumput, mengalihkan bangkai serta membersihkan sarang labah-labah mengikut kesesuaian di kawasan berikut:
(i) Jalan Awam;
(ii) Pasar Awam, Pasar Tani, Pasar Pagi, atau Pasar Malam;
(iii) Longkang Awam;
(iv) Pantai Awam;
(v) Perhentian Bas;
(vi) Tandas Awam;
(vii) Taman Awam;
(viii) Laluan Pejalan Kaki;
(ix) Jejantas;
(x) Medan Selera; dan
(xi) Pusat Penjaja.
Menyertai aktiviti gotong-royong yang dianjurkan oleh Perbadanan atau agensi lain di lokasi seperti:
(i) Kawasan perumahan;
(ii) Rumah kebajikan;
(iii) Tempat awam; dan
(iv) Institusi awam.
• Melaksanakan kerja-kerja pembersihan pasca banjir atau bencana, termasuk:
(i) Mencuci dan mengemas rumah mangsa banjir atau bencana; dan
(ii) Mencuci dan mengemas bangunan awam.
• Membantu dalam program anjuran agensi kerajaan, termasuk:
(i) Aktiviti pembersihan sebelum, semasa, dan selepas acara;
(ii) Kempen dan promosi yang melibatkan Pendidikan Komunikasi dan Kesedaran Awam (CEPA); dan
(iii) Lain-lain aktiviti sukarelawan yang berkaitan.