Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) ditubuhkan sebagai pelengkap bagi menjayakan Dasar Pengurusan Sisa Pepejal Negara. Secara amnya, dasar ini bertujuan untuk mewujudkan sistem pengurusan sisa pepejal yang menyeluruh, bersepadu, kos efektif dan lestari yang dikehendaki oleh masyarakat yang mementingkan pemuliharaan alam sekitar dan kesejahteraan awam.SWCorp ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 673). SWCorp secara rasminya telah ditubuhkan pada 1 Jun 2008 di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).Ia mempunyai kuasa untuk mentadbir dan menguatkuasakan undang-undang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam serta perkara yang berkaitan dengannya. Peranan SWCorp adalah untuk memastikan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang lebih efisien dan bersepadu di samping memberikan kepuasan yang lebih baik kepada pengguna dari segi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.