8 Disember 2020 – YBrs. Tuan Haji Ismail Mokhtar, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengadakan kunjungan hormat ke atas YB Dato’ Dr. Razali bin Ab Malik, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan di pejabatnya hari ini.

Dalam pertemuan itu, pelbagai isu telah dibincangkan untuk memastikan Negeri Sembilan terus berada dalam keadaan terbaik dan bersih. Selain itu juga pihak SWCorp bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi melaksanakan dan menyokong kempen kesedaran awam dan program gotong royong yang melibatkan penduduk di Negeri Sembilan.

Selain daripada itu, YBrs. Ismail Mokhtar turut menghadiri Program Penyerahan Kit Kempen Negeri Sembilan Bersih yang telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Haji Aminuddin bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan kepada 7 Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Sembilan.

Kempen Negeri Sembilan Bersih ini adalah kesinambungan Duli Yang Maha Mulia Tuanku mencemar duli merasmikan Program World Clean Up Day pada 19 September yang lalu.

Kerajaan Negeri Sembilan amat komited dalam usaha memastikan aspek kebersihan sentiasa dititikberatkan. Ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk merancakkan kembali sektor pelancongan domestik dengan memulakan Kempen “Jom Teghojah Nismilan”.

YAB Menteri Besar berharap Negeri Sembilan menjadi sebuah negeri yang dapat memberikan suatu kelainan kepada masyarakat dalam matlamat menjadikan Negeri Sembilan Bersih, Muafakat dan Sejahtera.