Kod Etika Penguatkuasa SWCorp menetapkan tingkah laku berpandukan undang-undang, arahan, peraturan semasa, nilai-nilai teras dan kod etika serta Jadual Kedua Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605), dan Surat Aku Janji yang telah ditandatangani. Berteraskan Kod Etika Penguatkuasa SWCorp ini, imej dan reputasi penguatkuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan sentiasa terpelihara.
Definisi
| Penguatkuasa | Pegawai atau Anggota Penguatkuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam |
| Pegawai | Pegawai-pegawai Penguatkuasa |
| Anggota | Anggota penguatkuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam |
| Pakaian Seragam | Pakaian rasmi Penguatkuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam |
Tujuan
Kod Etika Penguatkuasa SWCorp ini bertujuan di jadikan panduan kepada warga kerja penguatkuasa, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam selepas ini disebut sebagai SWCorp, melaksanakan tanggungjawab dan amanah selaras dengan peraturan dan undang-undang yang wajib dipatuhi.
Objektif
Objektif Kod Etika Penguatkuasa SWCorp ini adalah seperti berikut:
i. Menghuraikan garis panduan berhubung dengan sikap dan tingkahlaku semasa melaksanakan tugas serta amanah.
ii. Menegakkan imej korporat SWCorp sebagai sebuah organisasi yang adil dan bertanggungjawab dalam semua tindakan kepada warga kerja dan pelanggan.
iii. Mengintegrasikan pengaruh etika dengan pengaruh undang-undang agar lebih berjaya dan berkesan dalam usaha membanteras segala bentuk rasuah, salah laku, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.
iv. Merealisasikan hasrat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang beretika dan bermoral tinggi akan tercapai sejajar dengan Wawasan 2020.
Punca Kuasa
i. Akta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 673).
Seksyen 23 Pelantikan pegawai dan pekerja (2) Seseorang pegawai atau pekerja Perbadanan hendaklah, pada setiap masa, bertindak dengan suci hati dan mematuhi apa-apa kehendak, standard, kewajipan dan tatalaku yang ditentukan oleh Perbadanan.
ii. Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605).
Perlanggaran Etika Kelakuan dan Pakaian adalah tertakluk kepada tindakan tatatertib di bawah Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605).
iii. Peraturan-Peraturan Tatatertib Badan-Badan Berkanun.
Bahagian II Tatakelakuan.