SWCorp adalah sebuah Badan Berkanun Persekutuan yang telah ditubuhkan pada 1 Jun 2008 di bawah Akta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 673).
SWCorp telah diletakkan di bawah pengurusan KPKT untuk mentadbir dan menguatkuasakan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) bagi memastikan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam (PSPPA) yang lebih efisien dan bersepadu.
Bermula 2011, SWCorp telah menjalankan pemantauan kawal selia terhadap syarikat konsesi yang bertujuan:
- Memastikan tatacara pemantauan yang lebih sistematik dan efisien.
- Digunapakai oleh semua anggota penguatkuasa Perbadanan semasa melakukan aktiviti rondaan.
- Memastikan pematuhan Kekunci Prestasi (KPI) ke atas pelaksanaan kerja oleh syarikat konsesi di lapangan.
Ini melibatkan tanggungjawap syarikat konsesi menyediakan dan mengemaskini jadual kutipan dan pembersihan awam dan memuatnaik ke dalam sistem i-Jadual dua (2) bulan sebelum jadual digunakan. Pengurus cawangan SWCorp pula bertanggungjawab untuk membuat agihan jadual tersebut kepada pembantu penguatkuasa yang terlibat di lapangan dengan menggunakan Sistem Pemantauan Kawalan Kebersihan (SPKK) bagi memudahkan pembantu penguatkuasa untuk menyemak jadual dan menjalankan kawal selia syarikat konsesi di lapangan.
Tatacara Kawal Selia di Lapangan:
- Menjalankan kawal selia perkhidmatan kutipan dan pembersihan awam di lapangan mengikut jadual operasi harian dalam handheld.
- Memastikan syarikat konsesi menjalankan perkhidmatan kutipan dan pembersihan awam di lapangan serta mematuhi KPI yang ditetapkan.
- Merekodkan butiran ketidakpatuhan KPI dalam handheld.
- Mengambil gambar sebagai bukti ketidakpatuhan KPI dengan menggunakan sistem SPKK.
- Melaporkan ketidakpatuhan KPI kepada syarikat konsesi untuk tindakan pembetulan. (Pembantu Penguatkuasa)
(Rujuk Dokumen Perjanjian Konsesi dan Garis Panduan Pemantuan Operasi Syarikat Konsesi bagi Perkhidmatan Kutipan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam untuk maklumat ketidakpatuhan yang memerlukan tindakan pembetulan dan tempoh masa tindakan pembetulan perlu diambil) - Mengambil tindakan pembetulan mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan. (Syarikat Konsesi)
- Membuat semakan samada tindakan pembetulan gagal dilaksanakan / telah dilaksanakan / tidak sempurna dilaksanakan di lapangan. (Pembantu Penguatkuasa)
- Memuat naik rekod ketidakpatuhan KPI ke dalam sistem SPKK. (Pembantu Penguatkuasa)
- Membuat pengesahan ketidakpatuhan KPI yang telah dimuatnaik mengikut tempoh yang ditetapkan. (Pengurus Cawangan)
- Menyemak ketidakpatuhan KPI dalam sistem SPKK dan memberikan maklumbalas sebelum pukul 12 tengahari keesokan harinya. (Syarikat Konsesi)
- Menjawab bantahan syarikat konsesi sebelum pukul 2 petang keesokan harinya. (Pengurus Cawangan)
- Menjawab bantahan konsesi dalam tempoh seminggu sekiranya PC tidak menjawab mengikut tempoh yang ditetapkan. (Pengarah Negeri)