Sisa pepejal komersial, perindustrian dan keinstitusian merupakan sisa pepejal terkawal yang terkandung di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672). Bagi menjadikan pengurusan sisa pepejal lebih efektif dan mengurangkan masalah longgokan sisa pepejal secara haram daripada aktiviti komersial, industri atau institusi (CII), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mewartakan dua (2) Peraturan pada 1 Ogos 2018 dan penguatkuasaan telah bermula pada 1 Mac 2020 yang berkaitan dengan sisa pepejal komersial, perindustrian dan keinstitusian iaitu:
i) Peraturan-Peraturan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (Skim Bagi Sisa Pepejal Komersial, Perindustrian Dan Keinstitusian) 2018
ii) Peraturan-Peraturan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (Pelesenan) (Pengusaha atau Penyediaan Perkhidmatan Pemungutan Bagi Sisa Pepejal Komersial, Perindustrian Dan Keinstitusian) 2018.
Peraturan ini telah mewajibkan setiap penghasil sisa perlu mengasingkan sisa pepejal yang boleh dikitar semula dan tidak boleh dikitar semula dan melantik syarikat perkhidmatan pemungutan yang berlesen untuk memungut sisa pepejal serta memastikan sisa pepejal dihantar ke kemudahan telah ditetapkan bagi mengelakkan masalah pembuangan sisa pepejal secara haram. Kandungan di dalam peraturan juga menjelaskan peranan dan tanggungjawab semua pihak yang terlibat di setiap peringkat iaitu:
i. penghasil sisa pepejal
ii. pemegang lesen bagi perkhidmatan pemungutan
iii. pemegang lesen bagi stesen pemindahan
iv. pemegang lesen bagi perkhidmatan pengangkutan jauh
v. pemegang lesen bagi kemudahan pengolahan dan pelupusan
Sekiranya berlaku ketidakpatuhan yang telah dinyatakan boleh di denda tidak melebihi RM10,000.00.