Laman Web Rasmi

Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam

Laman Web Rasmi

Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam

Inisiatif

Hari Pekerja Pembersihan

Sambutan Hari Pekerja Pembersihan atau dikenali sebagai Garbage Man Day yang disambut pada 17 Jun setiap tahun sejak 2011 di peringkat antarabangsa adalah untuk memotivasi, menghargai dan mengiktiraf pekerja pembersihan yang dikategorikan sebagai pekerja 3D (Difficult, Dangerous & Dirty). Pekerja pembersihan merupakan pekerja yang memungut sampah, pekerja yang mencuci longkang, pekerja yang menyapu jalan dan pekerja yang memotong rumput.

Perkhidmatan ini merupakan perkhidmatan penting (essential service) dalam negara. Justeru, SWCorp sebagai peneraju kebersihan negara mengambil inisiatif untuk menghargai wira-wira tidak didendangkan ini yang telah bekerja tanpa mengenal erti penat lelah demi menjalankan amanah untuk memastikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersih, indah dan sejahtera.

SWCorp juga telah mengangkat tema Keringat Teringat-ingat dalam Sambutan Hari Pekerja Pembersihan. Keringat atau peluh merujuk kepada suatu pekerjaan yang memerlukan kudrat manusia yang bersungguh-sungguh dan menggunakan tenaga melebihi kadar biasa. Pekerja pembersihan dikategorikan sebagai 3D ini memerlukan kudrat dan tenaga yang lebih daripada biasa, nescaya mengeluarkan keringat. Teringat-ingat adalah suatu perasaan mendalam terhadap sesuatu perkara sehingga ia terngiang-ngiang dalam ingatan.

Oleh itu, Keringat Teringat-ingat ialah kudrat dan bakti yang dicurahkan setiap hari oleh pekerja pembersihan yang bekerja bertungkus lumus untuk membersihkan kawasan persekitaran sentiasa dihargai dan diingati oleh setiap masyarakat. Pekerjaan mereka sangat penting demi keselesaan kehidupan seharian masyarakat. Jasa mereka ini perlulah sentiasa diingati kerana tanpa mereka sudah pasti masyarakat tidak dapat menikmati kawasan yang bersih dan selesa.