ALOR STAR – Usaha merealisasikan Transformasi Kedah Baharu Ke Arah Zero Waste menerusi tema “Kedah Negeriku Bersih Serata-Rata” terus dilakukan mencakupi segenap lapangan.Terbaharu, seramai lebih kurang 15,000 orang terlibat dalam Kempen Kebersihan dan Kesedaran 3R (Reduce, Reuse, Recycle). Ia dilakukan pada 9 September lalu di Stadium Darul Aman, Alor Setar bersempena dengan perlawanan bagi merebut Piala Malaysia, di antara pasukan Kedah melawan Kelantan.

Program ini merupakan kerjasama banyak pihak termasuk SWCorp, Perbadanan Stadium-Stadium Negeri Kedah (PSNK), Environment Idaman Sdn. Bhd.; Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA); Polis Diraja Malaysia (PDRM); dan Kelab Penyokong Bola Sepak Kedah iaitu Peminat Bola Sepak Kedah (PBK), Jaguh Utara Fans Club (JUFC), Hijau Kuning Fans Club (HKFC), Penyokong Setia Hijau Kuning (PSHK), Kelab Peminat Darulaman (KEPDA), Red Eagle Frenz Kedah, Arena Hijau Kuning dan Ultras Kedah.

Objektifnya adalah untuk mengajak masyarakat bertindak dan mengambil bahagian dalam menjaga kebersihan alam sekitar dan menghayati peranan mereka bagi merealisasikan pelaksanaan 3R bagi segenap lapisan masyarakat. Ia juga diharapkan dapat mendidik masyarakat supaya mengurangkan jumlah janaan sisa pepejal yang dilupuskan ke tapak pelupusan. Selain itu, sebagai kempen kebersihan dan kesedaran 3R di kalangan penonton, SWCorp dapat memperkenalkan diri dan mempromosikan tanggungjawabnya kepada masyarakat serta menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk melaksanakan aktiviti seperti program membersihkan
Stadium Darul Aman.

Program yang dibuat seawal 4.30 petang dan berakhir tengah malam itu turut diisi dengan pelbagai aktiviti. Antaranya, taklimat secara langsung bersama orang awam dan peminat bola sepak berkaitan dengan aktiviti, kempen Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca, pertandingan Kuiz 3R dan Dam 3R. Orang ramai juga berpeluang menyaksikan pameran 3R dan Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca di luar Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah bermula pada jam 5 petang. Turut dibuat, pengedaran beg plastik oleh 90 sukarelawan. Pengedaran Beg Plastik Kitar Semula itu melibatkan lapan kelab yang dipilih untuk memungut sampah di dalam stadium.

Jumlah keseluruhan sisa pepejal yang dikutip ialah sebanyak 242.7 kilogram. Diadakan juga Pertandingan Kutipan Sampah Terbanyak. Pertandingan disertai di kalangan lapan kelab yang dipilih pada jam 11.00 malam. Hadiah berupa wang tunai RM100 bagi pengumpul kutipan sampah terbanyak.Untuk kempen berterusan, turut diadakan pelantikan IKON 3R. Zaidi Sabani telah dipilih kerana sentiasa mengutip sampah semasa sesi perlawanan bola sepak di dalam stadium sebelum ini dan beliau sentiasa mendidik anak-anak beliau untuk turut serta mengutip sampah dan membersihkan stadium.