Rakyat Malaysia menghasilkan kira-kira 37,890 tan sisa setiap hari dengan sekurang-kurangnya 1.17 kg dijana bagi setiap individu.

Jumlah itu dianggarkan terus meningkat seiring pertambahan populasi penduduk dan lebih membimbangkan, ia akan menyumbang kepada ketepuan tapak pelupusan sampah di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal) SWCorp, Dr. Mohd Pauze Bin Mohamad Taha berkata tindakan dan tanggungjawab perlu diambil semua orang ke arah mengurangkan penjanaan sisa setiap hari kerana kos dikeluarkan kerajaan untuk pengurusan sampah amat tinggi.

Sebagai contoh, kos pengurusan sampah bagi tujuh negeri di bawah pengurusan SWCorp iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur; Johor; Melaka; Negeri Sembilan; Pahang; Kedah dan Perlis mencecah RM2 bilion setiap tahun.

Cara pembuangan dengan sampah betul

“Jumlah itu sebenarnya boleh dikurangkan, jika masyarakat mengamalkan cara pembuangan sampah dengan betul termasuk termasuk menjadikan pengasingan sisa daripada punca sebagai amalan dan mempraktikkan kitar semula.

“Pengurusan sampah dengan cara betul ini penting kerana jika ia tidak dilakukan mengikut cara sepatutnya seperti pelupusan dan perawatan, ia akan memberi kesan kepada alam sekitar pada masa depan seperti pencemaran air dan tanah yang akan mengganggu sumber air negara,” katanya.

Mohd Pauze berkata, jangka hayat sesebuah tapak pelupusan adalah 20 hingga 25 tahun bergantung kepada keluasannya.

Katanya, tanah yang dijadikan tapak pelupusan sampah pula tidak boleh digunakan untuk sebarang pembangunan atau projek kerana ia perlu dirawat sekurang-kurangnya selama 20 tahun selepas itu berikutan ada air larutan serapan (leachate) dan gas berbahaya dengan kadar pencemaran sangat tinggi.

Amal kitar semula

“Selain itu, pembangunan, terutama di kawasan bandar semakin pesat menyukarkan lagi proses mendapatkan tanah sesuai dijadikan kawasan pelupusan sampah kerana masyarakat tidak mahu ia terletak berhampiran rumah.

“Bagi kawasan pesat membangun, tanah kosong yang ada hanya di kawasan tadahan air dan hutan simpan yang tidak sesuai dijadikan tapak pelupusan. Justeru, apa yang perlu dilakukan adalah mengurangkan janaan sampah, amalkan kitar semula dan menggunakan teknologi bagi merawat sisa ini.

“Jangan pandang ringan kepentingan amalan kitar semula kerana ia amat penting dan impaknya sangat besar kepada kehidupan seharian dan masa depan kita.

“Sampah sesuatu yang amat sensitif, masyarakat tidak mahu ia dekat dengan rumah mereka. Sebab itu kita perlu cari alternatif seperti beralih dari tapak pelupusan sisa pepejal termasuk tapak pelupusan sanitari kepada Loji Sisa Ke Tenaga (WTE),” katanya.

SUMBER : BERITA HARIAN (AHAD, 16 JUN 2019)