Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah menganjurkan Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Musim Perayaan (OPS RAYA 2018) pada 11 Mei 2018. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YB Puan Hajah Zuraida Bt Kamaruddin, Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan bertempat di My Town Cheras. Bersempena pelaksanaan kempen ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengadakan Ops Raya 2018 secara bersepadu yang akan dikoordinasikan bersama-sama agensi-agensi lain selama 15 hari bermula dari 8 Jun sehingga 22 Jun 2018. JBPM telah mengenalpasti 18 lokasi strategik di sepanjang Lebuh raya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan (LPT II). JBPM akan menempatkan satu unit FRT/LFRT dengan kekuatan tujuh orang pegawai dan satu unit EMRS bersama-sama tiga orang pegawai sepanjang Ops ini berkuatkuasa.

Menurut YB Menteri di Majlis tersebut, Pegawai-pegawai JBPM akan bertugas selama 24 jam secara bergilir bagi bersedia menangani insiden-insiden yang melibatkan kebakaran dan kerja-kerja penyelamatan seperti kemalangan jalan raya dan sebagainya. Seramai 11,200 pegawai daripada 14,000 anggota akan bertugas sepanjang cuti perayaan tahun ini termasuk di kesemua 290 balai bomba dan penyelamat di seluruh negara agar bantuan kecemasan dapat diberikan dengan lebih cepat dan memendekkan masa bertindak jabatan ke lokasi kejadian. Orang ramai diseru agar memastikan aspek-aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan walau dimana sahaja kita berada. Orang ramai juga diingatkan sebelum memulakan perjalanan pulang ke kampung, pastikan suis utama elektrik kediaman dimatikan dan plug perkakasan elektrik yang tidak digunakan haruslah dicabut daripada soket. Hal ini kerana berdasarkan statistik JBPM pada tahun lepas, sebanyak 29,356 kes dilaporkan dan daripada jumlah itu, 1,737 kes adalah berpunca daripada elektrik.Sepanjang musim perayaan ini, jabatan juga mengadakan
program pemeriksaan dan penguatkuasaan di premis-premis tumpuan orang ramai di seluruh negara seperti pusat membeli-belah, hotel, restoran, dan tempat-tempat perhimpunan ramai supaya selamat dan bebas daripada ancaman bahaya kebakaran. Contohnya, di JBPM Kuala Lumpur, jabatan mewujudkan pos bomba di kawasan Masjid India, Pasar Seni dan KL Sentral untuk memberi respon segera sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
Orang ramai juga digalakkan menyediakan alat pemadam api yang bersesuaian di dalam kenderaan sebagai langkah awal keselamatan juga harus diberi perhatian agar tindakan awal dapat dilakukan serta merta apabila berlaku sebarang kecemasan sementara menanti bantuan tiba.