Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah melancarkan Program Mendaya Komuniti di PPR Lembah Subang (2) pada 30 September 2018 yang lalu. Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YB Puan Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Program ini dilaksanakan sebagai projek rintis (pilot project) di bawah Dasar Komuniti Negara yang sedang digubal oleh KPKT.
Semasa program ini juga, YB Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut merasmikan Sekretariat Muafakat Komuniti. Sekretariat ini berfungsi sebagai pemudah cara dan penjalin hubungan antara komuniti dengan agensi Kerajaan, pihak swasta dan NGO. Penubuhan Sekretariat ini juga membolehkan anggota komuniti menyuarakan masalah yang dihadapi serta mengemukakan cadangan program yang ingin dilaksanakan melalui Ketua Komuniti. KPKT bercadang untuk melaksanakan sebuah lagi projek rintis yang sama di PPR Sentul Murni, Kuala Lumpur.
Penganjuran kali ini telah mendapat kerjasama padu daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang turut mengadakan Program Mesra Komuniti. Antara pengisian yang diadakan di PPR Lembah Subang 2 kali ini ialah aktiviti gotong-royong memasak oleh anggota komuniti, sukan rakyat seperti pertandingan bola jaring, pertandingan street soccer dan pertandingan kutipan bahan kitar semula. Aktiviti-aktiviti ini dilaksanakan di bawah inisiatif Program Mesra Komuniti yang dianjurkan oleh MBPJ.
Program ini telah mendapat penglibatan lebih 1,500 orang penduduk PPR Lembah Subang (2), pemimpin tempatan dan juga warga KPKT. Terdapat lebih 35 gerai yang menjalankan program seperti pameran, perkhidmatan kesihatan, kemudahan pinjaman dan permulaan perniagaan, tabungan masa depan, pendidikan dan kesedaran, peluang kerjaya, jualan pada harga diskaun serta aktiviti galakan kesukarelawanan.
Pelaksanaan program ini melibatkan koloborasi pelbagai pihak serta penglibatan aktif anggota komuniti bagi membentuk sikap bertanggungjawab, bersepakat, mempunyai sense of ownership terhadap kediaman dan harta bersama, saling menghormati, menyayangi, bekerjasama dan peka terhadap isu-isu komuniti.
Program Mendaya Komuniti merupakan inisiatif KPKT untuk membentuk komuniti yang bersepakat dan bersatu dalam menangani cabaran isu-isu semasa yang menjejaskan kesejahteraan kehidupan termasuk insiden-insiden yang tidak diingini yang berlaku di kawasan perumahan PPR kebelakangan ini.
Sumber