Untuk memetakan pelbagai usaha atau program pengurangan sisa makanan yang telah dilaksanakan sehingga kini, satu persidangan yang dinamakan Persidangan Meja Bulat Pengurangan Sisa Makanan – Ke Arah Kesepaduan Usaha Bersama telah dibuat pada 15 April lalu.

 

Diadakan di Dewan Besar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), persidangan berkenaan juga bertujuan menyokong kerjasama pelbagai pihak dalam usaha pengurangan sisa makanan di negara ini selain untuk merangka satu cadangan ke arah menggerakkan usaha bersama dalam program pengurangan sisa makanan di negara ini.

 

Dirasmikan oleh Ketua Pengarah IKIM, Datuk Profesor Dr. Azizan Baharuddin, sebanyak lima kertas kerja dibentangkan pada persidangan berkenaan yang turut melantik Felow Kanan, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar (KIAS), IKIM Nor Azaruddin Nuruddin sebagai Moderator.

 

Kertas Kerja 1 bertajuk “Kerangka Islami Dalam Usaha Pengurangan Sisa Makanan” oleh Felow KIAS, Azrina Sobian; manakala Kertas Kerja 2 ialah mengenai “Projek Pengurangan Sisa Makanan Bersama Komuniti : Pengalaman SWCorp” oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, SWCorp, Dr. Mohd Pauze Mohamad Taha.

 

Kertas Kerja 3 berkaitan “Jawi Food Bank : Jaringan Kerjasama Dalam Menangani Masalah Pembaziran Makanan” oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail; Kertas Kerja 4 membincangkan mengenai “Grab Cycle : Generasi Muda dan Gerakan Pengurusan Sisa Makanan” oleh Pengasas Bersama Grab Cycle, Siti Hawa Khairunnisa Mohd Roslan manakala Kertas Kerja 5 yang dibentangkan oleh Pelajar Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Gesyeana Bazlyn Zamri membawa tajuk “Kajian Pengurusan Sisa Makanan Melalui Program Intervensi Agama”.

 

Satu lagi program yang melibatkan SWCorp dalam aspek penjagaan kebersihan ialah Program Mendaya Komuniti Berteraskan Amalan 3R (Reduce, Reuse dan Recycle).

 

Program yang dibuat pada 7 April di Taman Salak Jaya, Salak Selatan itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bukit Bintang merangkap Ketua MPP Zon 6 Wilayah Persekutuan, Abdullah Chong.

 

Program ini dibuat selaras dengan Dasar Komuniti Negara yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia pada 17 Februari 2019 lalu. Penglibatan komuniti adalah sangat

penting bagi menjayakan dasar tersebut dan segala isu berkaitan kebersihan serta pengurusan sisa pepejal dapat diatasi bersama.

 

Secara umumnya, Dasar Komuniti Negara yang diterajui oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar ini lebih bersifat inklusif.

 

SUMBER : SWCorp NEWS BIL. 2/2019