Skim Strata merupakan sebuah skim pembangunan hartanah mengikut sistem pengurusan yang telah ditetapkan dengan membahagikan bangunan atau tanah kepada petak-petak, petak aksesori dan harta bersama seperti rumah pangsa, kondominium, town house, rumah kedai, pejabat, pejabat kecil, atau pejabat rumah (SOHO), kompleks perniagaan dan landed strata. Setakat ini, statistik terkini penduduk strata di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan merangkumi 19,923 dengan jumlah petak sebanyak 1,751,248 unit. Seiring dengan pembangunan berkonsepkan bangunan berstrata yang semakin banyak disebabkan oleh harga tanah yang semakin meningkat dan ruang tapak pembangunan tanah yang semakin terhad, Kerajaan melihat terdapat keperluan untuk Akta yang berkaitan dengan pengurusan strata diperkukuhkan.Sehubungan dengan itu, Akta Pengurusan Strata (Akta 757) telah dibentangkan dan diluluskan di Parlimen pada November 2012 dan telah mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong pada 5 Februari 2013 dan diwartakan pada pada 8 Februari 2013. Akta 757 mula berkuatkuasa pada 1 Jun 2015 bagi menggantikan Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyelenggaraan dan Pengurusan) 2007 (Akta 663). Akta ini digubal bagi memastikan keseragaman undang-undang dan dasar berkenaan Kerajaan Tempatan berhubung dengan pengurusan dan penyelenggaraan bangunan berstrata dan harta bersama bermula dari peringkat penyerahan milikan kosong sehingga ke peringkat selepas Perbadanan Pengurusan ditubuhkan. Berikutan penguatkuasaan Akta 757 dan penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Tribunal Pengurusan Strata) 2015 pada 1 Julai 2015, Tribunal Pengurusan Strata telah diwujudkan bagi mendengar dan menentukan apa-apa tuntutan dan pertikaian mengenai pengurusan dan penyelenggaraan bangunan berstrata seperti mana yang diperuntukkan dalam Jadual Keempat, Akta 757 dan bidang kuasa Tribunal adalah terhad ke atas tuntutan tidak melebihi RM250,000.00. Dengan penguatkuasaan Akta 757, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yakin ianya akan memperkasakan komuniti strata dan seterusnya meningkatkan kualiti pengurusan dan penyelenggaraan bangunan berstrata.