ROMPIN, PAHANG – Sempena Pesta Rompin 2017, SWCorp Cawangan Rompin dan Alam Flora Sdn. Bhd. telah mengadakan pameran bagi kesedaran orang awam terhadap penjagaan alam sekitar. Pameran yang diadakan di Pantai Hiburan, Rompin, Pahang ini berjaya menarik 500 pengunjung untuk datang ke booth pameran dengan pelbagai aktiviti menarik disediakan. Antaranya, Art Work Tissue, Dam Ular 3R, edaran risalah #Asingkan dan plastik #Asingkan. Pengunjung juga berpeluang mengenali SWCorp dan mendapatkan info berkaitan kesedaran amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) dan Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca.

Pada hari akhir pameran, sekumpulan sukarelawan ditubuhkan untuk bersama-sama memungut sisa pepejal di kawasan tapak pesta bagi memastikan kawasan Pantai Hiburan bersih. Hasilnya, sebanyak 135 kilogram sisa kitar semula berjaya dikumpul yang kebanyakannya terdiri daripadakertas, plastik dan lain-lain. Alam Flora Sdn. Bhd. dalam maklum balasnya berkata, kerjasama di antara dua pihak ini terjalin dengan baik kerana kedua-duanya mempunyai misi yang sama iaitu ingin menjadikan daerah Rompin sebagai sebuah daerah yang bersih dan indah.