Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menganjurkan Sambutan Hari Habitat Sedunia Peringkat Malaysia di PPR Beringin, Jinjang Utara Kepong pada 13 Oktober 2018 yang lalu. Majlis yang disempurnakan oleh YB Puan Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut dihadiri oleh YB Tuan P. Prabakaran, Ahli Parlimen Batu.
Hari Habitat Sedunia merupakan satu acara tahunan yang diraikan oleh semua negara anggota UN-Habitat dengan memberi fokus kepada isu penempatan manusia. KPKT selaku Kementerian peneraju telah menganjurkan sambutan ini sejak tahun 1986 lagi. Pada tahun ini, sambutan Hari Habitat Sedunia disambut dengan tema “Housing Policies: Affordable Homes”.
Tema ini dipilih kerana menurut rekod PBB, sebanyak 1.6 billion manusia tidak mempunyai tempat tinggal yang sempurna di seluruh dunia. Sambutan Hari Habitat Sedunia merupakan sambutan peringkat global diadakan dengan tujuan:

  • meningkatkan kesedaran masyarakat berkenaan kepentingan membangunkan petempatan manusia yang selesa dan kondusif;
  • meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa setiap manusia mempunyai hak untuk mempunyai tempat perlindungan; dan
  • mengingatkan segenap lapisan masyarakat bahawa mereka bertanggungjawab untuk membentuk masa depan tempat tinggal dan bandar mereka.

Bersempena dengan program ini juga, pelbagai program menarik lain turut dianjurkan seperti Pertandingan Photojournalism, Anugerah National Scroll of Honour for Human Settlements. Pelbagai aktiviti menarik sepanjang program berlangsung antaranya Pertandingan Tarik Tali Pasukan PPR, KPKT dan Artis Undangan, Jualan Urban Farming dan FAMA, pameran oleh agensi-agensi Kerajaan dan pelbagai lagi aktiviti menarik.
Dalam majlis yang sama, satu lagi inisiatif kementerian telah diperkenalkan dalam usaha memperkasakan komuniti yang sejahtera dan mampan iaitu ‘Komuniti Hab’. Ia merupakan satu kawasan tumpuan yang lengkap dengan kemudahan seperti perpustakaan mini, tempat perniagaan dan pusat kitar semula untuk penduduk. Inisiatif ini yang dikendalikan oleh Urbanice Malaysia ini turut mendapat sokongan penuh daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Komuniti Hab yang dibangunkan di PPR Beringin merupakan satu platform dalam menggalakkan interaksi sosial yang sihat dan akan menjadi ‘showcase project’ seiring dengan agenda kemampanan antarabangsa (New Urban Agenda (NUA) dan SDGs) supaya usaha-usaha pelaksanaan kemampanan di peringkat tempatan dapat digerakkan secara aktif dan lebih berkesan.