iSelamat merupakan laman web yang memaparkan maklumat jenayah di sesebuah kawasan kejiranan dan sekitar komuniti dalam bentuk peta. Laman web berkenaan dibentuk bagi memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat jenayah secara terperinci di sesebuah kawasan, selain menyediakan panduan serta tips pencegahan jenayah yang boleh diamalkan. Turut disediakan adalah maklumat penting keselamatan seperti nombor telefon anggota serta balai polis berdekatan, Persatuan Penduduk, dan Rukun Tetangga bagi membolehkan tindakan segera diambil. iSelamat.my telah dibangunkan hasil kerjasama Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Sistem Pemantauan Bandar Selamat (SPBS) di bawah Program Bandar Selamat. SPBS telah dibangunkan secara berperingkat sejak 2010 dan kini digunapakai di semua Balai Polis dan PBT seluruh Malaysia, dan antara kemampuan SPBS adalah mampu mengenalpasti kawasan panas berdasarkan kepada masa (jam, hari, mingguan, bulanan) dan lokasi dengan ketepatan saintifik. Sistem itu juga berupaya menjana analisis tren jenayah dalam bentuk spatial yang amat berguna dalam perancangan pembangunan kawasan baharu dengan penggunaan sumber lebih optimum.