CYBERJAYA – Seramai lapan pegawai dari pihak pengurusan UMW Corporation Sdn. Bhd. telah mengadakan lawatan ke ibu pejabat SWCorp untuk mengetahui lebih lanjut mengenai amalan 3R (Reduce, Reuse dan Recycle). Lawatan yang adakan pada 30 Mei lalu antara lainnya menyalurkan maklumat berguna menerusi taklimat bertajuk “Amalan 3R di Pejabat Kerajaan” yang disampaikan oleh Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Masyarakat SWCorp, Muhammad Zahir Ab Aziz.

Peserta juga diberi panduan terperinci mengenai beberapa aspek penting dalam amalan berkenaan yang antara lainnya menyentuh mengenai elemen pengurusan sisa pepejal di pejabat, komposisi sisa pepejal di pejabat, jenis-jenis sisa pepejal di pejabat selain turut menekankan aspek pendidikan dan promosi. Bagi pihak UMW Corporation Sdn. Bhd. pula, objektif lawatan adalah untuk mendapatkan informasi berhubung pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negara ini dengan memberi pengkhususan berhubung aspek amalan 3R yang kemudiannya akan diamalkan di pejabat dan dalam kehidupan seharian.

Lawatan berkenaan juga mampu menyemai semangat cintakan alam sekitar melalui pengurusan sisa pepejal yang berkesan apabila mereka menyedari bahawa tanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran adalah tanggungjawab yang harus dipikul secara bersama.Selain itu, peserta juga tahu dengan lebih lanjut peranan SWCorp dan program-progam yang dijalankan di samping memberi gambaran yang jelas tentang bagaimana menguruskan sisa pepejal secara berhemah dilakukan setelah mereka dibawa melihat sudut kitar semula, cafe pejabat yang bercirikan amalan 3R, tong-tong kitar semula yang dicipta daripada barang terbuang dan sculpture 3R yang dipertandingkan.Lebih mengujakan lagi apabila lawatan yang singkat ini dapat memupuk semangat cintakan alam sekitar di kalangan kakitangan syarikat swasta melalui penyertaan pertandingan sculpture.