fb twitter insta insta
A A A

PELAN TRANSFORMASI MINDA 2015-2020
Ke Arah Negara Bersih, Indah dan Sejahtera


Sebuah negara yang maju bukan hanya diukur dengan kemajuan prasarana dan infrastuktur semata-mata. Aspek kebersihan, keindahan dan kesejahteraan negara perlu diambil perhatian sebagai usaha ke arah sebuah negara maju pada tahun 2020. Bagi merealisasikan pelaksanaan menjadikan sebuah negara yang bersih, indah dan sejahtera, Pelan Transformasi Minda (PTM) 2015-2020 telah dilancarkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 24 Februari 2015 yang lalu.

 

PTM 2015-2020 merupakan satu-satunya dokumen holistik yang strategik di sediakan oleh SWCorp sebagai panduan semua agensi bagi melaksanakan strategi dan tindakan transformasi minda yang sangat diperlukan untuk mencapai aspirasi melahirkan masyarakat yang menghargai kebersihan persekitaran serta memelihara alam sekitar sebagai anugerah dan amanah Pencipta demi kelangsungan kehidupan dan kelestarian alam sekitar.  Mencintai kebersihan persekitaran serta pemeliharaan alam sekitar menjadi budaya dan resam kehidupan masyarakat Malaysia sebagai iltizam SWCorp.

 

Selari dengan itu, SWCorp menyediakan PTM 2015-2020 yang mengandungi enam (6) objektif strategik (OS) yang berkait rapat dengan cabaran-cabaran sosial. SWCorp komited untuk merealisasikannya dengan melaksanakan tindakan secara WHM (Winning the Hearth and Minds) melalui pendekatan strategik C4E (Communicate, Educate, Engage, Empower dan Enforce). Walaubagaimana pun kerjasama, sokongan dan tindakan semua pihak adalah dituntut dan amat diperlukan bagi memastikan pencapaian sepenuhnya seperti yang diharapkan.

 

Enam (6) objektif strategik (OS) PTM 2015-2020 adalah;

OS1 : Masyarakat yang melihat secara Mata Hati dan menghargai keperluan memelihara alam sekitar
OS2 : Masyarakat yang menghargai dan mengutamakan kebersihan dan keindahan persekitaran
OS3 : Masyarakat yang memahami dan menjadikan pengurusan sisa pepejal dan kebersihan persekitaran sebagai tanggungjawab bersama
OS4 : Masyarakat yang membudayakan amalan kebersihan berteraskan kepada nilai-nilai murni dan keagamaan dalam kehidupan seharian
OS5 : Masyarakat yang berdisiplin dan mematuhi peraturan berkaitan dengan kebersihan dan alam sekitar
OS6 : Masyarakat yang menghargai sisa sebagai sumber ekonnomi, tenaga dan nilai artistik


Hasrat Malaysia untuk menjadi negara maju menjelang 2020 meliputi sembilan (9) cabaran strategik yang perlu diatasi dan lapan (8) darinya berkait rapat dengan cabaran menangani isu sosial. Sehubungan itu, PTM 2015-2020 ini adalah bertepatan untuk melahirkan masyarakat yang mempunyai nilai jati diri dan etika yang tinggi bagi meningkatkan lagi imej negara di persada dunia.

Selain itu, negara yang sedang berada di fasa ke-3 Wawasan 2020 (2011-2020) telah menyediakan Model Baru Ekonomi (MBE) yang memberi penekanan agar semua penyelesaian perlu mengambil kira kesan ekonomi dan alam sekitar (economically and environmentally enduring solution). Malaysia perlu membangun secara seimbang dari segi ekonomi dan pemuliharaan alam sekitar demi kelangsungan kehidupan dan generasi akan datang.

 

YAB Timbalan Perdana Menteri dalam ucapan pelancaran PTM pada 24 Februari 2015 yang lalu telah menegaskan bahawa Transformasi Minda menjadi agenda utama Negara bagi mencapai status negara maju berpendapatan tinggi serta mempunyai masyarakat minda kelas pertama mengikut acuan kita sendiri, yang di hormati, disanjungi dan dicontohi.

 .