fb twitter insta instadivider1malaysia header
A A A

APCAPC 3

 

PUTRAJAYA - Seramai 86 warga kerja terdiri dari Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Sokongan Perbadanan SWCorp dirai    dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) yang disempurnakan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan  Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar. 86 warga kerja ini terdiri daripada 16 warga kerja kumpulan pengurusan dan profesional serta 70 warga kerja kumpulan sokongan yang telah menunjukkan kecemerlangan sepanjang tahun 2016 dan komitmen   yang tinggi dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada organisasi SWCorp amnya dan kepada  Kementerian khususnya. Noh dalam ucapan perasmiannya melahirkan penghargaan dan tahniah kepada penerima dan menggalakkan  warga kerja SWCorp terus memberikan komitmen dan mempertingkatkan produktiviti serta mutu kerja yang berkualiti tinggi.

Katanya, pegawai awam perlu menumpukan seluruh usaha dan tenaga dalam memberikan perkhidmatan yang efektif, efisien,   berkualiti, telus, mendahului dan mementingkan rakyat serta pelanggan bagi memastikan matlamat kerajaan dapat dijayakan.
"Tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan proaktif juga perlu terus dilaksanakan bagi memastikan golongan yang tidak  bertanggungjawab yang membuat kekotoran dan mencemari keindahan persekitaran dapat dibawa ke muka pengadilan,” tegasnya.

Beliau turut memberi peringatan agar warga kerja SWCorp sentiasa bersedia dan berfikiran terbuka untuk membuat pembaharuan  yang berterusan supaya Kementerian dan SWCorp sentiasa responsif, relevan, cekap, cepat dan berkesan dalam memenuhi  permintaan dan harapan rakyat yang menginginkan satu transformasi kepada landskap pengurusan sisa pepejal dan tahap kebersihan negara.

Noh turut berharap, anugerah yang  diberikan  ini  menjadi    titik  tolak untuk  semua  pihak  memacu  pencapaian  KPKT  serta  perkhidmatan  awam  dengan lebih     terkemuka     setanding     dengan pencapaian  anggota  perkhidmatan  awam di negara-negara maju.

"Saya berharap mereka yang terpilih sebagai  penerima  anugerah  pada  hari   ini,   menjadi   role   model   kepada   yang  lain untuk terus berusaha dengan gigih agar matlamat   yang   disasarkan   tercapai. Perkhidmatan    yang berprestasi tinggi dan bertaraf kelas pertama adalah menjadi fokus penting untuk menangani perubahan pantas yang berlaku dalam  persekitaran    global masa kini. Dalam hal ini, jentera pentadbiran kerajaan perlu  mempunyai  kapasiti dan keupayaan   yang   tinggi   untuk menjayakan program-program yang telah dirancang,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Dato’ Dr.Zulkapli Mohamed berkata, kriteria pemilihan penerima  anugerah  APC pada kali ini dinilai dari aspek-aspek seperti laporan kedatangan di pejabat, sumbangan serta aktiviti bukan tugas rasmi yang meningkatkan  imej  organisasi, sumbangan idea-idea bernas dan sebagainya. "Sebagai menyahut hasrat kerajaan yang menetapkan bahawa tahun 2017 sebagai tahun penyampaian dan fokus KPKT untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif ke arah   kesejahteraan hidup rakyat dengan perhatian khusus untuk menangani isu-isu yang dekat di hati rakyat, SWCorp telah merangka  pelbagai program bagi mentransformasikan organisasi ke arah kejayaan SWCorp sebagai organisasi yang memacu budaya kebersihan.

"Untuk itu, SWCorp menetapkan tujuh fokus utama yang akan dilaksanakan pada tahun 2017 iaitu Memperkasakan Tindakan Penguatkuasaan dan Kawal Selia; Meningkatkan Teknologi Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam; Inisiatif Penjimatan  Perkhidmatan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam; Pengurusan Sumber Kewangan Yang Kukuh; Pembitaraan Budaya Amalan 3R; Penilaian Aset Perkhidmatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pengukuhan Pentadbiran dan Pengurusan.

"Justeru itu, saya berharap sokongan padu daripada pihak KPKT secara berterusan untuk memastikan SWCorp terus mengorak langkah ke hadapan dalam memastikan visi SWCorp ke arah  meningkatkan kualiti persekitaran  yang  bersih,  indah  dan  sejahtera  menjelang  2020  tercapai,” katanya. Untuk rekod, SWCorp telah mencatatkan pencapaian yang cemerlang dan membanggakan sepanjang tahun 2016 apabila berjaya mencatatkan peratusan pencapaian Sasaran Kerja Tahunan secara keseluruhannya sebanyak 110.28 peratus. SWCorp juga telah berjaya mencatat kejayaan yang cemerlang di dalam  pertandingan inovasi diperingkat antarabangsa dan berupaya memperkasakan tindakan penguatkuasaan Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca di negeri-negeri yang menerimapakai Akta 672.

Majlis yang berlangsung meriah di Dewan Kristal, KPKT, Presint 4, turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha, Timbalan Ketua  Setiausaha, para pegawai kanan Kementerian serta warga kerja SWCorp.

LIMA Kedah

 

LANGKAWI - Tiga majlis diadakan serentak bersempena LIMA 17’ baru-baru ini. Ia melibatkan Majlis Pelancaran Pertandingan Taman dan Kampung Terbersih, Program  "Spring  Cleaning"  dan  Penguatkuasaan  Kebersihan  di Langkawi sempena LIMA 17’.
Program yang diadakan pada 21 hingga 15 Mac yang lalu itu dihadiri lebih 500 orang. Program berkenaan sebagai penggerak dalam melahirkan masyarakat yang  bertanggungjawab  dalam menjaga  kebersihan  di  samping menzahirkan   Kedah   Terbersih   
selaras dengan Transformasi Kedah Baharu. Dirasmikan oleh  Menteri Besar Negeri Kedah, Dato' Seri Diraja Ahmad Bashah
Md.  Hanipa,  ia  turut  dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Badan-Badan  Bukan Kerajaan,  Dato' Haji Badrol Hisham Hashim, ADUN Kuah Langkawi, Nor Saidi Haji Nanyan, Yang DiPertua Majlis  Perbandaran Langkawi  Bandar  Pelancongan, Tuan Abdul Bari Abdullah, Pegawai Daerah Langkawi, Isahak Murat, Ketua Pegawai   
Eksekutif LADA, Dato' Azizan Noordin, Pengarah SWCorp Kedah, Hazahar Hashim, dan Ketua Pegawai Eksekutif Environment Idaman Sdn. Bhd., Mhd Saiful Anuar Zainal.

Bagi Pertandingan Taman dan Kampung Terbersih, ia dibuat mengikut tiga kategori yang melibatkan Persatuan Pewakilan Penduduk (JPP) Jawatankuasa Kemajuandan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Kelab Rukun Tetangga (KRT) di Langkawi. Penilaian dibuat       jawatankuasa yang dilantik khas untuk menilai dan memilih taman dan kampung yang menepati kriteria yang ditetapkan dan boleh dijadikan contoh kepada taman dan kampung yang lain. Bagi program   "Spring  Cleaning" ia adalah satu program di mana pemimpin tempatan  bersama-sama  ketua agensi atau jabatan membuat kunjungan atau lawatan disesuatu lokasi bagi melihat   sendiri  isu-isu yang terdapat di lokasi tersebut.

Semasa di lokasi jika terdapat sesuatu isu atau masalah yang ditemui, ketua jabatan yang berkenaan akan mudah untuk  membuat  keputusan  mengikut peranan agensi masing-masing dan seterusnya penyelesaian dapat dilakukan dengan segera. Program "Spring Cleaning" yang juga merupakan penguatkuasaan kebersihan akan melihat kepada isu-isu kebersihan sepanjang LIMA 2017.  Kebersihan adalah satu perkara yang amat penting dan perlu dititikberatkan supaya pengunjung luar yang datang ke Langkawi memberikan persepsi yang positif terhadap Malaysia. Program "Spring Cleaning" dilaksanakan selepas majlis pelancaran selesai dan melibatkan enam lokasi LIMA17’ termasuk Kuah, lapangan terbang, Pantai Cenang, Awana, Kedawang dan Air Hangat.


Dengan adanya penguatkuasa kebersihan ini secara langsungnya akan dapat mendidik masyarakat untuk lebih bertanggungjawab  dalam menguruskan sisa pepejal di premis masing-masing. SWCorp juga berharap agar masyarakat dapat membudayakan amalan  Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca yang menjadi penentu kepada kejayaan dan inisiatif murni ini.

KSN 1   KSN 2


PUTRAJAYA
- Satu majlis pelancaran dan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU), bagi menangani pembaziran  makanan di negara ini telah diadakan pada 5 April lalu. Pelancaran Program MYSavefood oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri. Dr. Ali Hamsa  dan  pertukaran  MoU  itu diadakan selepas Mesyuarat Ketua Setiausaha   (KSU) bersama KSN yang diadakan di  Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya. MoU ditandatangani melibatkan kerjasama antara MYSavefood, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI). Ia disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan  Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA).

Sebelum ini,jalinan kerjasama  MYSavefood, SWCorp dan MARDI sudahpun dibuat pada majlis pelancaran MYSavefood oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 10 Mac 2016. Pada majlis pelancaran berkenaan, kerjasama terjalin antara MoA, Kementerian Kesihatan dan SWCorp dalam menangani isu pembaziran makanan bagi mencari formula terbaik  menangani pembaziran makanan di peringkat global. Ia diikuti oleh Forum MYSavefood peringkat kebangsaan yang  diadakan  pada  4  Jun  2016, di Hotel Aloft, KL Sentral.

Pada program yang bertujuan menyebarkan lagi kempen dan kerjasama agensi yang terbabit, SWCorp merupakan salah seorang speaker yang dilantik. Sepanjang tahun lalu juga  banyak  kerjasama  dilakukan. Antaranya penganjuran program bersama agensi lain berkaitan sisa makanan,  kerjasama dalam KIK Hibrid mengenai sisa makanan serta penglibatan SWCorp didalam pameran MAHA. Untuk memastikan MYSavefood terus mencapai objektifnya, lima Kementerian telah terpilih bergabung tenaga serta kepakaran untuk menjayakannya secara NBOS. Kementerian yang terlibat ialah MoA, KPKT, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Perdagangan  Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan  dan  Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

GELANG  PATAH -  Pelaksanaan program “Litter Picking” dilihat antara kaedah berkesan untuk mengajak  masyarakat supaya lebih mementingkan persekitaran hidup yang bersih dan menyihatkan. Ini terbukti apabila   program Litter Picking yang dijalankan oleh SWCorp dan agensi-agensi berkaitan ternyata mendapat sambutan baik dengan penyertaan menyeluruh dari pelbagai pihak. Terbaharu ialah program Litter Picking yang   telah diadakan  pada  12  Februari  2017  yang lalu bertempat di sepanjang jalan Skudai-Gelang  Patah.  
 
Program berkenaan dijayakan oleh SWCorp Negeri Johor bersama SWM Environment Sdn. Bhd. Turut memberikan kerjasama yang baik ialah pihak Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT). Program ini dianjurkan  secara bersepadu di sepanjang jalan Skudai-Gelang Patah, bermula di persimpangan Taman Ungku Tun Aminah,   Skudai hingga ke persimpangan Taman Nusa Sentral dan di sekitar pekan Gelang Patah.

 

Program yang julung-julung kalinya diadakan dan diketuai oleh Yang DiPertua MPJBT, Adib Azhari Daud ini  bertujuan untuk menjayakan usaha pembersihan alam sekitar secara menyeluruh dengan pembabitan seramai 300  orang termasuk penduduk setempat.Pada masa akan datang, program seumpama ini akan terus dijalankan dan SWCorp mengharapkan sokongan semua pihak termasuk masyarakat setempat bagi sama-sama menjaga kebersihan alam sekitar.

KUALA TERENGGANU - SWCorp Negeri Terengganu terus menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan Malaysia terus kekal bersih dan dapat mewujudkan kehidupan yang lebih lestari. Terbaharu ialah  jalinan persefahaman dan kerjasama yang dipersetujui antara Kerajaan Negeri Terengganu dengan SWCorp    Terengganu hasil kunjungan hormat Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan), Dato’ Zainul  Abidin  Abdullah  ketika itu  yang  diraikan  persaraannya dan juga Pengarah SWCorp Negeri Terengganu, Sharudin  Hamid ke atas Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail, dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Negeri Terengganu,  Dato' Mohd Jidin Shafee.

Hasil pertemuan berkenaan, beberapa ketetapan telah dicapai iaitu SWCorp Negeri Terengganu dianggap sebagai pemudahcara penyaluran input berkaitan pengurusan sisa pepejal serta pendidikan masyarakat berkaitan kebersihan di negeri Terengganu. Selain itu SWCorp juga akan memainkan peranan membantu dan menyokong pihak Kerajaan Negeri Terengganu dalam memperkemaskan aspek kebersihan di Terengganu antaranya menjadi ahli Pasukan Inspektorat Kebersihan Kerajaan Negeri Terengganu selain jalinan kerjasama antara SWCorp akan terus dibuat terutama dalam penganjuran  program-program kebersihan dan kemasyarakatan menerusi  Strategi  Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Dalam satu majlis berasingan pula, SWCorp telah diberi tanggungjawab bagi melaksanakan  pelbagai  aktiviti  sebagai pengisian sempena Pesta Pantai di Pantai Batu Rakit. Program yang berlangsung dari 17 Mac hingga 22 Mac dimeriahkan dengan Program Kebersihan dan Kempen Kitar Semula selain taklimat kebersihan dan aktiviti gotong-royong. Turut diadakan ialah gimik penyerahan beg plastik dan risalah kepada wakil peserta oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri Terengganu, Bazlan Abd Rahman serta program litter picking dengan penyertaan dari penuntut Universiti  Malaysia Terengganu (UMT), penduduk kampung dan para pengunjung.

Majlis penutupnya pula disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap ADUN Permaisuri, Dato’ Mohd Jidin Shafee. Pada majlis penutup berkenaan juga diadakan penyampaian hadiah   untuk Program Kebersihan dan Kempen Kitar Semula Pesta Pantai Batu Rakit Tahun 2017 (Bangsal   Terbersih) dan pengumpulan barang kitar semula terbanyak.

 .