fb twitter insta insta
A A A

SAS

  • 1 JUN 2016 PENGUATKUASAAN PENGASINGAN SISA PEPEJAL DI PUNCA BERMULA

     

    1 Jun

    Kuala Lumpur, 1 Jun 2016 – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan mula menguatkuasakan pengasingan sisa pepejal di punca bermula pada hari ini. Penguatkuasaan ini bertujuan untuk memastikan pelaksanaan inisiatif pengasingan sisa pepejal di punca (SAS) dilaksanakan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia.

    Pelaksanaan SAS akan dapat mendidik masyarakat untuk lebih bertanggungjawab dalam menguruskan sisa pepejal di premis masing-masing. Disamping itu ianya juga dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat akan kepentingan memelihara dan menghargai alam sekitar seterusnya dapat dijadikan budaya oleh rakyat Malaysia secara menyeluruh.

    Penguatkuasaan SAS ini turut dijalankan secara serentak di semua negeri-negeri yang menerima pakai Akta 672 iaitu di Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur & Putrajaya), Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah. Ianya melibatkan pemeriksaan kepada 79 buah taman dan hampir 10,724 unit premis serta melibatkan seramai 245 orang anggota penguatkuasa SWCorp bagi memastikan pelaksanaan pengasingan sisa pepejal dipunca diamalkan oleh penduduk setempat seperti yang telah ditetapkan mengikut Akta 672.

    Pelaksanaan penguatkuasaan SAS dijalankan oleh pasukan khas yang ditubuhkan terdiri daripada anggota penguatkuasa SWCorp bersama Syarikat Konsesi. Penguatkuasaan ini dijalankan mengikut prosedur yang telah ditetapkan antaranya melalui pemeriksaan di dalam tong sampah untuk mengenalpasti sisa baki tidak bercampur dengan sisa kitar semula.

    Oleh yang demikian, pada tarikh ini  (1 Jun 2016), kadar kompaun yang dikenakan terhadap pemilik kediaman bertanah (landed) yang tidak melaksanakan pengasingan sisa pepejal di punca adalah RM50.00 bagi kesalahan kali pertama, RM100.00 bagi kesalahan kali kedua dan RM500.00 bagi kesalahan kali ketiga. Seterusnya bagi kediaman bertingkat (non landed) adalah RM100 bagi kesalahan kali pertama, RM200.00 bagi kesalahan kali kedua dan RM500.00 bagi kesalahan kali ketiga.

    Bagi kesalahan kali keempat dan seterusnya, tindakan mahkamah akan diambil jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM1,000.00. Walau bagaimanapun, tindakan undang-undang merupakan langkah yang terakhir yang akan dilaksanakan kerana fokus Kementerian adalah lebih menjurus untuk mendidik masyarakat serta memberi kesedaran awam dalam kalangan masyarakat Malaysia ke arah mewujudkan masyarakat yang menghargai sisa pepejal sebagai satu sumber, menjaga kebersihan persekitaran dan memelihara kelestarian alam sekitar.

    YB Datuk Rahman Dahlan, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjelaskan, inisiatif Kerajaan untuk melaksanakan pengasingan sisa pepejal di punca adalah sangat relevan bagi memastikan Malaysia mencapai sasaran 22% kadar kitar semula pada tahun 2020 berbanding 17.5% kadar kitar semula pada tahun 2015. Stastistik ini adalah jauh lebih rendah berbanding kadar kitar semula yang dicatatkan oleh Negara-negara maju yang lain seperti Austria (68%), Jerman (62%), Taiwan (60%) dan Singapura (59%).

    Selain daripada penguatkuasaan tersebut, pihak SWCorp akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif yang merangkumi promosi, pendidikan dan engagement dengan  masyarakat. Antaranya adalah hebahan maklumat berhubung panduan dan kaedah pelaksanaan SAS yang lebih interaktif dan kreatif di semua saluran media elektronik, media cetak mahupun media sosial. Sehingga kini, sebanyak 3511 buah taman dilawati 382,402 buah premis yang diperiksa dan sejumlah 85,416 surat peringatan mesra telah dikeluarkan kepada penghuni premis berkenaan.

    Jelas beliau lagi, penguatkuasaan ini merupakan fasa ketiga pelaksanaan SAS selepas dilaksanakan secara berperingkat mulai 1 Jun 2015 yang lalu. Sebelum ini pendekatan yang digunakan adalah dengan memberi tumpuan kepada penerangan dan pendidikan yang berterusan kepada masyarakat berkaitan pelaksananan pengasingan sisa pepejal di punca. Penguatkuasaan SAS ini, tidak hanya tertumpu kepada tindakan mengkompaun semata-mata sebaliknya komitmen yang berterusan daripada pihak masyarakat adalah menjadi keutamaan kepada pelaksanaan SAS.  Pihak kementerian berharap agar masyarakat dapat membudayakan amalan pengasingan sisa pepejal di punca yang menjadi penentu kepada kejayaan dan inisiatif murni ini. Semoga dengan sokongan semua pihak, kita mampu meningkatkankadar kitar semula negara dan seterusnya menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih, indah dan sejahtera.

    Hari ini juga, telah berlangsung Program Promosi Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca Di Kawasan Kediaman Bertingkat (non-landed) yang diadakan di PPR Kampung Limau dan telah dihadiri oleh YB Datuk Abdul Rahman Dahlan, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Penganjuran program ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam tentang amalan 3R dan mengurangkan sisa pepejal ke tapak pengurusan seterusnya memupuk sikap tanggungjawab dalam memastikan persekitaran yang bersih.

  • Karnival MPK bantu promosi Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca

    Karnival MPK

    KUALA  LUMPUR -  Tahun  2016,    buat    julung-julung    kalinya  Majlis  Perbandaran  Kangar  menganjurkan  acara  Karnival  MPK  Di  Hati  Rakyat  2016  bertujuan  mendekatkan  Pihak  Berkuasa   Tempatan   dengan   rakyat   Negeri Perlis. Karnival  yang  berlangsung  selama   tiga   hari   bermula   pada   25   sehingga   27   November   2016   lalu   diadakan  Dataran  Dato'  Sheikh Ahmad, Kangar, Perlis.  Antara aktiviti  yang  dianjurkan   ialah   pameran-pameran   agensi   kerajaan   dan   swasta,   jualan   produk      tempatan, pertandingan  woodball,   bola    sepak 7 sebelah,    sukan    rakyat,    pertandingan    koir,    pertandingan      lanskap,     ceramah      agama  dan  pertandingan  memasak  antara Ketua Jabatan. SWCorp      Negeri      Perlis      tidak ketinggalan   menyertai  pameran  di  booth  yang  disediakan  oleh  penganjur.  Sepanjang  karnival  tersebut, SWCorp Perlis mengadakan kempen   Pengasingan   Sisa   Pepejal   Di  Punca,  mempromosikan  Amalan  3R selain  aktiviti  menarik  di  booth seperti     permainan     Dam     Jumbo     SWCorp,  kuiz  3R,  puzzle  #asingkan  serta  pertandingan  Swafoto  di  photo booth SWCorp Perlis.

    Selain   itu,   SWCorp   Perlis   turut  menyertai  Pertandingan  Bola  Sepak  7  Sebelah  dan  Pertandingan  Memasak  Antara  Ketua  Jabatan  dan  berjaya  merangkul  tempat  pertama  dalam       pertandingan       memasak       berkenaan     dengan     membawakan     konsep Value Food No Waste .Majlis  perasmian  Karnival  MPK  Di  Hati  Rakyat  2016  ini  telah  disempurnakan     oleh     Duli     Yang     Teramat  Mulia  Tuanku  Raja  Muda  Perlis    pada    26    November    2016.    Sebelum   acara  perasmian,   baginda   berkenaan  mencemar  duli  bersama-sama   dengan   Ketua-Ketua   Jabatan   dan    rakyat    berbasikal    di    sekitar    bandar  Kangar  serta melawat  asnaf-asnaf sekitar Perlis. Dalam     titah     ucapannya,     baginda    menyeru    supaya    rakyat    Perlis     menyokong     segala     usaha     yang   dilakukan   oleh   MPK   dalam  memastikan       kesejahteraan       dan       pembangunan   negeri   Perlis   dapat   dilaksanakan dengan jayanya.

  • Pameran pengasingan sisa pepejal sempena pembukaan Kota Budaya, Melaka

    Peletakan Batu Asas

    MELAKA - Sempena dengan majlis Perletakkan Batu Asas Kota Budaya Sungai Rambai yang diadakan di Melaka pada 25 Ogos lalu, SWCorp turut mengambil bahagian memeriahkan acara dengan mengadakan pameran berkaitan pengurusan sisa pepejal yang lebih berhemah. Majlis perletakan batu asas berkenaan yang disempurnakan oleh
    Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar itu dihadiri lebih 1,500 orang awam.

    Program yang diadakan di Sungai Rambai itu antara lain menyaksikan bagaimana usaha keras Kerajaan Negeri Melaka hingga berjaya membina sebuah pusat budaya bagi menempatkan produ-kproduk berasaskan negeri Melaka sebagai salah satu medium mempromosikan Kota Bersejarah ini. Dalam pameran yang mendapat sambutan ramai itu antara lain SWCorp berkongsi info-info berkaitan pengurusan sisa pepejal serta maklumat berkaitan Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca yang seharusnya bermula dari rumah. Tong kitar semula yang terdiri daripada tiga ruangan turut ditempatkan di pusat budaya ini untuk digunakan oleh para pengunjung pada setiap hari.

    Untuk tempoh jangka masa panjang, SWCorp akan terlibat dengan kerja-kerja pembersihan di lokasi tersebut. Selesai majlis perasmian, agensi-agensi yang berada di bawah KPKT telah mengadakan perbincangan lanjut bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan dan SWCorp juga telah menyampaikan taklimat berkaitan SWCorp dan fungsi jabatan ini. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri KPKT, Datuk Halimah Mohamed Sadique; Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Mohammad Mentek; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ir. Idris Harun; Setiausaha Kerajaan Melaka; Jabatan Perancangan Bandar dan Desa; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Melaka; Majlis Daerah Jasin; Pejabat Tanah dan Daerah Jasin; dan lain-lain.

  • PERKASA PROGRAM PENGASINGAN SISA PEPEJAL DI PUNCA

    Iklan dalam Lif

    PUTRAJAYA – Kempen dan promosi Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca akan diperluas ke semua pejabat kerajaan sebagai salah satu medium penyebaran maklumat awam melalui pemasanganpelekat berinformasi Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca dilif-lif dan tempat-tempat yang telah dikenalpasti.

    Usaha itu adalah pendekatan baharu yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memastikan pelaksanaannya yang bermula pada 1 September 2015 yang lalu terus diamalkan dan menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat masa kini.Iklan dalam Lif 1

    Kempen di pejabat kerajaan telah dimulakan oleh Menteri KPKT sendiri, Tan Sri Noh Omar baru-baru ini pada Majlis Pelancaran Promosi Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca di pejabat kerajaan yang bertempat di KPKT. Secara keseluruhannya, sebanyak 14 lif di pejabat KPKT telah dipasang pelekat kempen secara berperingkat. Daripada jumlah itu, dianggarkan seramai 15,000 orang awam (tempoh sebulan) yang berurusan dengan KPKT akan mendapat manfaat serta pengetahuan mengenai Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca. Sebelum ini, SWCorp turut melaksanakan promosi pemasangan pelekat Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca di lif pada kawasan kediaman bertingkat.

    Secara keseluruhan, sebanyak 535,048 kediaman bertingkat di tujuh negeri yang menerimapakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan jumlah lif yang telah dipasang pelekat tersebut secara berperingkat adalah sebanyak 592 buah.

    Lif-lif yang dipasang dengan pelekat tersebut terletak di kawasan kediaman bertingkat di bawah kawasan perkhidmatan SWCorp.Secara tidak langsung dianggarkan seramai 2.76 juta penduduk di kawasan kediaman bertingkat akan mendapat manfaat serta pengetahuan mengenai Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca melalui pemasangan pelekat di lif.

    Untuk rekod, kerajaan telah mewajibkan Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca pada 1 September 2015 yang lalu dan tindakan kompaun mula dikuatkuasakan oleh penguatkuasa SWCorp mulai Jun 2016. Kempen dan promosi untuk pengasingan sisa pepejal ini telah dijalankan secara menyeluruh dan juga edaran risalah dari rumah ke rumah juga telah dibuat.

    Selain itu, taklimat kepada penduduk juga diberi dari semasa ke semasa. Kementerian melalui SWCorp juga menjalankan pelbagai promosi kesedaran awam melalui pelbagai medium iaitu media elektronik dan media cetak. Orang ramai boleh melihat iklan promosi kesedaran awam melalui penyiaran iklan di televisyen, radio dan juga di pawagam bermula awal tahun 2016 yang lalu. Selain itu, promosi pengasingan sisa pepejal turut diperluaskan di pengangkutan awam melalui pengiklanan luar melibatkan pemasangan iklan di kenderaan pada bas, teksi, kenderaan SWCorp serta LRT laluan Kelana Jaya. Kementerian berharap agar orang ramai
    mendapat informasi melalui promosi yang telah diusahakan ini.

    Pelaksanaan program ini melibatkan seluruh negeri yang menerimapakai Akta 672. Pemilik-pemilik kediaman
    di negeri-negeri berkaitan diwajibkan mengasingkan sisa pepejal mereka mengikut kategori seperti kertas, plastik dan lain-lain. Kutipan sisa pepejal akan dibuat dua kali seminggu untuk sisa baki iaitu seperti sisa dapur, sisa makanan dan bahan-bahan kotor yang lain. Manakala satu kali seminggu dikhaskan untuk mengutip barangan kitar semula tersebut. Sehingga kini sebanyak 84 Notis Pemberitahuan Kesalahan telah dikeluarkan oleh SWCorp bagi premis yang gagal menjalankan pengasingan sisa pepejal manakala bagi kutipan barangan kitar semula sebanyak 1,225 tan telah berjaya dikutip sehingga kini bermula pada bulan Januari 2016.

    Kadar kompaun yang dikenakan terhadap pemilik kediaman bertanah yang tidak melaksanakan Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca adalah RM50 bagi kesalahan kali pertama, RM100 bagi kesalahan kali kedua dan RM500
    bagi kesalahan kali ketiga. Seterusnya pemilik kediaman bertingkat adalah RM100 bagi kesalahan kali pertama, RM200 bagi kesalahan kali kedua dan RM500 bagi kesalahan kali ketiga. Bagi kesalahan kali keempat dan seterusnya, tindakan mahkamah akan diambil jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM1,000. Walau bagaimanapun, tindakan undang-undang merupakan langkah terakhir yang akan dilaksanakan kerana fokus Kementerian adalah lebih menjurus untuk mendidik masyarakat serta memberi kesedaran awam dalam kalangan masyarakat Malaysia ke arah mewujudkan masyarakat yang menghargai sisa pepejal sebagai satu sumber, menjaga kebersihan persekitaran dan memelihara kelestarian alam sekitar.

 .