fb twitter insta insta
A A A

Habitat Moment

  • Habitat Moment 2016 saksikan ikrar pelihara alam sekitar

    Habitat Moment

    KUALA LUMPUR - Bacaan ikrar oleh ratusan pelajar dari sekitar Lembah Klang bergema di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pada 18 November 2016 lalu. Antara lain ikrar berkenaan yang dibacakan di hadapan Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan beberapa tetamu kenamaan menyebut pelajar-pelajar berkenaan akan mengingatkan diri dan  masyarakat  mengenai  hak  setiap  individu untuk memiliki tempat tinggal yang selesa, selamat dan berkualiti. Pelajar-pelajar berkenaan yang juga merupakan sebahagian daripada  peserta  dalam  program  Habitat Moment  2016 berikrar akan membantu menyebarkan kepada masyarakat mengenai tanggungjawab semua  pihak terhadap masa depan penempatan manusia yang perlu dijaga dan ditingkatkan  ke  arah  pembangunan  yang mampan selain menjaga alam sekitar dan mengelakkan perilaku yang akan mencetuskan kemudaratan terhadap habitat dan rangkaian alam sekitar.

    Mereka juga berjanji memberi keutamaan kepada penjagaan alam sekitar dalam melaksanakan pembangunan atau penerokaan muka  bumi  secara terancang dan menjadikan aktiviti memelihara alam sekitar sebagai tugas dan tanggungjawab utama serta memastikan alam sekitar tidak dikorbankan demi kekayaan atau kepentingan mana-mana pihak. Ikrar yang bertujuan meningkatkan kesedaran pelajar terhadap isu semasa, persekitaran manusia  dan perancangan alam sekitar ini membabitkan pelajar   yang   terdiri   daripada   sekolah-sekolah sekitar Kuala  Lumpur  iaitu  SK Sultan  Hisamuddin  Alam  Shah;  SK  Jalan  Batu;  SK  Convent  (1)  Bukit  Nanas (M); SJK(T) Appar dan SJK(C) Chung Kwok.

    Mereka yang hadir dalam program Habitat Moment 2016 juga turut melibatkan  beberapa  agensi  dan  jabatan  lain. Halimah dalam ucapan perasmiannya berkata, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah dilantik oleh United Nations (UN) sejak tahun 1985 lagi, sebagai  focal  point bagi  
    menyelaras dan melaksanakan semua aktiviti berkaitan Program Penempatan Manusia (The United Nations Human  Settlements Programme UN - Habitat). Ini termasuklah Sambutan Hari Habitat Sedunia yang kini merupakan program flagship KPKT. Kerana itu menurutnya,sambutan Hari Habitat Sedunia 2016, pihak Kementerian telah menganjurkan pelbagai program dan aktiviti seperti pertandingan photo   journalism,   pertandingan   analisis   senario Habitat dan penerbitan majalah HABITAT. “Pelaksanaan  semua  aktiviti  dan  program ini melibatkan pelbagai kumpulan sasar terutamanya pelajar sekolah rendah, sekolah  menengah,  peringkat  IPTA  dan  masyarakat  umum.  Penganjuran  program  ini  juga  turut  melibatkan  semua  jabatan  dan agensi di bawah Kementerian seperti Bahagian  Kesejahteraan  Bandar,  Jabatan  Landskap  Negara,  Jabatan    Perancangan  Bandar   dan   Desa,   Jabatan   Pengurusan   Sisa  Pepejal  Negara  dan  SWCorp.  Semua    program  ini  juga  telah  berjalan  serentak  bermula daripada awal Julai 2016 lagi.

    “Dan  kemuncak  kepada  semua  program ini ialah Majlis Perasmian Habitat Moment. Pengisian utama program Habitat  Moment  ialah  bacaan  ikrar  Aku  Janji  Habitat  Moment. Bacaan ikrar ini merupakan  simbolik  kepada  penyertaan golongan pelajar dalam usaha untuk memelihara kemampanan penempatan dan alam sekitar,” katanya. Menurut   Halimah, ikrar yang dilafazkan juga bertujuan meningkatkan kesedaran pelajar terhadap   isu   semasa, persekitaran manusia dan perancangan alam  sekitar  selaras  dengan  kepentingan  generasi muda yang merupakan pelapis pemimpin negara dimasa hadapan. Melalui ikrar ini diharap para   pelajar akan  lebih  menghayati  idea  persekitaran mampan dan seterusnya akan lebih sensitif dalam  menangani  isu  semasa  berkaitan  persekitaran penempatan mereka.

    Justeru katanya, bagi pihak  KPKT, beliau sangat menghargai kerjasama dan komitmen Kementerian  Pendidikan Malaysia melalui Jabatan Pendidikan Negeri serta sekolah-sekolah berkaitan yang telah memberikan kerjasama yang sangat baik dalam menyediakan penglibatan pelajar demi menjayakan semua program Kementerian pada kali ini. “Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada semua barisanj uri yang terlibat dalam semua pertandingan  yang  diadakan, guru-guru pengiring dan barisan urus setia yang telah bekerja keras bagi  menjayakan program  ini,”  katanya yang  turut  mengucapkan  syabas  kepada  pemenang   yang   berjaya   mencerna   idea   dan  bersaing  di  peringkat  akhir  di  dalam  pertandingan yang  diadakan.

    Hadir sama pada program ini ialah, Timbalan Ketua Setiausaha (Kesejahteraan Bandar) KPKT, Dato’ Halimi   Abd. Manaf; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), KPKT, Dato’ Nor Inchun Mohamed Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Dato’ Dr. Zulkapli Mohamed; Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Perancangan Bandar dan   Desa  Semenanjung  Malaysia,  Dato’  Zainuddin  Ahamad; Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Kementerian     Pelajaran Malaysia, Dato’ Haji Ahmad Tajuddin Jab; pegawai-pegawai kanan KPKT, guru dan wakil media.

 .