Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan (HKSK) 2018 yang berlangsung 1 Disember 2018 lalu banyak memberi pengajaran dan peringatan kepada semua akan pentingnya menjaga alam sekitar dan memelihara bumi dari terus tercemar.

Acara tahunan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui SWCorp yang disambut setiap 11 November ini bertujuan memberi pendedahan dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan amalan 3R (Reduce, Reuse dan Recycle) selain menggalakkan amalan menguruskan sisa pepejal secara mampan demi generasi akan datang.

Lebih penting program-program yang diatur juga bertujuan menerapkan minda kelas pertama kepada masyarakat dalam menjadikan amalan 3R sebagai budaya dan amalan harian.

Dirasmikan Menteri KPKT, YB Hajah Zuraida Kamaruddin, sambutan yang diadakan seawal jam 7.30 pagi di Taman Eco Park, Kuala Lumpur ini turut diserikan dengan kehadiran Ketua Setiausaha KPKT, Dato’ Sri Mohammad Mentek; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPKT, Dr. Mary Wong Lai Lin; Ketua Pengarah, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Ismail Mokhtar; dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal), Dr. Mohd Pauze Mohamad Taha selaku Tuan Rumah SWCorp.

Dengan tema berinspirasikan sambutan Hari Bumi 2018 dan Hari Persekitaran Dunia 2018 yang mengajak masyarakat Malaysia untuk menyedari ancaman dan bahaya pencemaran plastik, maka sambutan kali ini mengajak masyarakat agar bangkit membanteras pencemaran demi masa hadapan alam sekitar yang terpelihara dan kesihatan yang terjamin.

Sifat produk plastik yang mudah dihasilkan, murah dan penggunaan yang tinggi telah meningkatkan penghasilan produk “plastik sekali guna”. Ketika ini hanya 9 peratus daripada 9 bilion tan plastik yang dihasilkan di seluruh dunia dikitar semula, manakala sebahagian besar yang lain tidak terurus secara lestari.

Justeru kerajaan melalui KPKT dan SWCorp berhasrat menangani isu penggunaan plastik ini dengan menyediakan platform kepada industri serta setiap rakyat untuk menyumbang kepada pengurusan alam sekitar yang lestari dan holistik.

Sempena sambutan ini, setiap rakyat boleh berperanan secara aktif demi membanteras pencemaran plastik dengan membawa beg pembungkus sendiri ketika membeli-belah; tidak lagi menggunakan perkakasan plastik sekali guna seperti sudu, garpu dan straw, membawa bekas makanan dan minuman sendiri sebagai alternatif ketika membungkus di premis makanan serta
mengitar semula setiap produk plastik yang telah digunakan.

ROAD TO HKSK dapat sokongan ramai

Sebelum menjelangnya sambutan HKSK pada 1 Disember 2018, telah diadakan beberapa program bersiri sebagai pengisian dan promosi sambutan berkenaan.

Antaranya Program Pembudayaan Amalan 3R Sepanjang Tahun; Perlawanan Bola Sepak Bersama Pasukan Selebriti Mak Jemah FC; Pengumpulan Barangan Kitar Semula Serentak “1 Million #crazyonrecycle” di seluruh negara; Out Reach Turun Padang Sempena HKSK 2018; Program Litter Picking; serta Fun Walk HKSK.

SWCorp juga menganjurkan beberapa pertandingan tahunan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri KPKT semasa sambutan HKSK. Ia membabitkan pertandingan Waste To Art Competition; Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PerKISS); Appreciation of Best Practices On Solid Waste Management 2018 dan Anugerah Pengiktirafan Perkhidmatan Skim Konsesi Terbaik.

Waste To Art Competition 2018

Platform untuk penggiat seni khasnya dan masyarakat amnya menghasilkan karya berasaskan
barangan terbuang dan terpakai yang mempunyai nilai komersial dan estetika serta mampu mentransformasikan minda masyarakat minda kelas pertama.

Hasil karya dapat memberi aspirasi serta inspirasi penghasilan produk dari barangan kitar semula sebagai salah satu sumber ekonomi. Sebanyak 172 penyertaan layak ke penilaian akhir dengan 55 karya daripadanya kini dipamerkan di Galeri Waste to Art di Ibu Pejabat SWCorp, Cyberjaya.

Pemenang Kategori 2 Dimensi dimenangi Mohd Shaharudin Sabu dengan tajuk “The Fullest Void” menerima hadiah wang tunai RM3,500, trofi dan sijil. Manakala kategori 3 Dimensi dimenangi Zakaria Sharif dengan karya “Sarang” menerima wang tunai RM5,000, trofi dan sijil.

PerKISS 2018

Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah Peringkat Kebangsaan (PerKISS) diadakan kali kelima oleh SWCorp dengan penyertaan dari sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di seluruh Malaysia.

Beberapa kriteria utama seperti berat barangan kitar semula terkumpul, komitmen, inisiatif dan inovasi warga sekolah dalam menggalakkan penyertaan pelajar dalam aktiviti pembudayaan 3R dipertandingkan. Secara tidak langsung, pelajar didedahkan dengan amalan 3R, isu-isu penjagaan alam sekitar, kepentingan menangani pengurusan sisa pepejal dan cara mengatasi masalah pencemaran yang disebabkan pembuangan sisa pepejal yang tidak sistematik.

Objektif penganjuran pertandingan adalah untuk menyediakan platform kepada sekolah menjadi peneraju amalan 3R terhadap masyarakat setempat; mendidik pelajar menghargai sisa pepejal sebagai sumber ekonomi dan nilai artistik; dan menerapkan budaya mencintai kebersihan persekitaran melalui amalan 3R dalam kalangan warga sekolah.

Bagi kategori Sekolah Rendah, Johan adalah SK Mangkok, Setiu, Terengganu dan Johan Sekolah Menengah adalah SMK Simpang Kuala, Alor Setar, Kedah. Kedua-duanya membawa pulang
hadiah berupa wang tunai RM3,000, trofi dan sijil penyertaan.

Best Practices Waste Management 2018

Appreciation Of Best Practices On Solid Waste Management menjadi medium untuk menilai tahap pengurusan sisa pepejal di premis industri dan komersial di Malaysia dengan fokus
kepada pembudayaan amalan baik dalam pengurusan sisa pepejal seperti pengasingan dan pengurangan sisa pepejal, aktiviti kitar semula dan kesedaran serta implementasi ke arah sisa
sifar (zero waste) di premis.

Sebanyak 5 penerima dipilih untuk diberikan penghargaan atas inisiatif yang telah dilaksanakan iaitu The Frangipani Langkawi Resort & Spa, Mandarin Oriental Kuala Lumpur dan Sutera Mall bagi Kategori Komersial dan Kategori Industri diberikan kepada F&N Dairies Manufacturing Sdn. Bhd. dan Intel Technology Sdn. Bhd.

Anugerah Pengiktirafan Perkhidmatan Skim Konsesi Terbaik

Dasar Pengurusan Sisa Pepejal Negara dengan matlamat mewujudkan sistem pengurusan sisa pepejal yang menyeluruh, bersepadu, kos efektif, mampan dan diterima masyarakat menjadi faktor utama Malaysia sebagai negara bersih, indah dan sejahtera.

Justeru itu, pengiktirafan perkhidmatan skim terbaik diwujudkan bagi merealisasikan hasrat kerajaan sekaligus memastikan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam khususnya dapat diberikan secara lebih efisien dan berkualiti.

Pengiktirafan skim terbaik merupakan pengiktirafan julung kali diadakan di semua kawasan skim di bawah Akta 672 yang melibatkan 114 skim di tujuh negeri. Selain memberi pengiktirafan kepada kawasan skim yang mencapai kriteria ditetapkan, pengiktirafan juga dilaksanakan bagi meningkatkan tahap dan kualiti perkhidmatan.

Tempoh penilaian adalah bermula Mac 2018 sehingga Oktober 2018 di mana setiap skim dinilai dari aspek pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, perkhidmatan teras, pengurusan pelanggan dan penyertaan bersama komuniti.

Tempat pertama bagi Alam Flora Sdn. Bhd. adalah Skim PJPS01 (Putrajaya), SWM Environment Sdn. Bhd. adalah Skim MLMB03 (Bandaraya Melaka) dan Environment Idaman Sdn. Bhd. adalah Skim KDAS01 (Bandaraya Alor Setar).

OPEN MIC #crazyonrecycle

Diadakan pada hari Sambutan HKSK, ia adalah perkongsian informasi, pengalaman dan idea secara santai. Topik-topik yang dibincangkan adalah berkaitan amalan 3R, penggunaan plastik
secara kreatif dan langkah-langkah pengurangan penggunaan plastik.

Lima speaker dan sebuah kumpulan yang terlibat dalam aktiviti ini dengan tajuk yang dibawakan adalah Recycled HDPE? Art of Resilience, Sisa Makanan Sifar Dengan Kompos, Sekolah Sisa Sifar, MEreka Upcycle : Kawaii dan DIY Plastik.

Dengan kesemua program ini diharapkan masyarakat memperoleh maklumat dan inspirasi dalam membudayakan amalan 3R sekaligus menjadikan budaya kebersihan dan pengurusan sisa pepejal yang baik sebagai amalan seharian.